PEGAWAI perisikan Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin tidak dimaklumkan dengan betul oleh penasihatnya mengenai prestasi buruk tenteranya di Ukraine.

Penemuan risikan terbaru White House mendedahkan, Putin menyedari perkara itu dan kini terdapat ketegangan antara beliau dan pegawai kanan tentera Rusia.

Perkara ini dimaklumkan Pengarah Komunikasi White House Kate Bedingfield pada sidang media di Washington pada Rabu,.

Katanya, pentadbiran White House percaya Putin telah diperdayakan bukan sahaja mengenai prestasi tenteranya tetapi juga tentang keadaan ekonomi Rusia.

"Sudah tentu, saya bukan jurucakap Kremlin dan tidak boleh bercakap bagi pihak Putin.

"Apa yang boleh saya katakan ialah, kami mempunyai maklumat bahawa Putin berasa tertipu oleh tentera Rusia, mengakibatkan ketegangan berterusan antara Putin dan kepimpinan tenteranya.

"Kami percaya, Putin dimaklumkan secara salah oleh penasihatnya tentang betapa teruknya prestasi tentera Rusia dan bagaimana ekonomi Rusia dilumpuhkan oleh sekatan, kerana penasihat kanannya terlalu takut untuk memberitahunya perkara sebenar.

"Jadi, semakin jelas sekarang, perang Putin ini merupakan satu kesilapan strategik yang telah menyebabkan Rusia semakin lemah dalam jangka masa panjang dan semakin terpencil di pentas dunia," katanya.

Pada sidang media itu juga, Bedingfield turut menyelar tindakan bekas presiden AS Donald Trump yang menggesa Putin supaya mengeluarkan maklumat tentang anak lelaki Biden, Hunter Biden.