Skip to main content

Dunia

Qatar cuba hidupkan semula diplomasi Iran-AS

Iranian Parliament Speaker Mohammad Bagher Ghalibaf meets with Qatari Prime Minister and Foreign Minister Mohammed bin Abdulrahman Al Thani in Tehran, Iran, on Aug 27, 2026. (Photo: Reuters/Iranian Parliament Speaker Office)
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf (kanan) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, di Tehran, Iran, pada Khamis. - Gambar Reuters
Advertisement

DUBAI: Qatar meningkatkan usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) apabila Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, melawat Tehran pada Khamis dalam usaha menghidupkan semula rundingan yang terhenti enam bulan selepas tercetusnya konflik serantau.

Dalam masa sama, Presiden AS, Donald Trump menegaskan Washington tidak sedang mengadakan sebarang rundingan dengan Tehran ketika ini.

"Kami tidak mahu bercakap dengan mereka. Kami tidak mencari peluang untuk bertemu atau apa-apa seumpamanya," kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.

Kenyataan itu dibuat selepas White House memaklumkan kempen tekanan ekonomi AS terhadap Iran akan diteruskan sehingga republik Islam itu bersedia untuk berunding secara serius.

Walaupun operasi ketenteraan berskala besar telah dihentikan sejak beberapa minggu lalu, usaha mencapai perjanjian damai yang lebih menyeluruh dan pembukaan semula Selat Hormuz masih belum menunjukkan kemajuan ketara.

Enam bulan selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertingginya serta mencederakan anak dan pewarisnya, kerajaan Iran masih kekal berkuasa walaupun berdepan tekanan ekonomi yang hebat dan belum menunjukkan kesediaan mendesak untuk kembali ke meja rundingan.

Trump pula berdepan tekanan politik domestik susulan kenaikan harga tenaga menjelang pilihan raya Kongres pada November. 

Justeru, pentadbirannya memilih untuk menumpukan kepada sekatan ekonomi, walaupun langkah penguatkuasaan lebih agresif berpotensi menjejaskan rakan dagang Iran seperti China dan India.

Menurut Kementerian Luar Qatar, Sheikh Mohammed dalam pertemuannya dengan perunding utama Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, menggesa agar usaha diplomasi dihidupkan semula.

Dalam masa sama, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menyeru negara-negara jiran supaya tidak membenarkan wilayah mereka digunakan oleh AS untuk melancarkan sebarang serangan ketenteraan atau tekanan ekonomi terhadap Iran.

Media Iran pula melaporkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei memberi amaran bahawa Tehran akan menyasarkan kepentingan ketenteraan dan ekonomi AS sekiranya Washington melakukan sebarang tindakan yang disifatkannya sebagai provokasi.

Menurut Rezaei, AS perlu memenuhi beberapa syarat sebelum Iran mempertimbangkan pembukaan semula Selat Hormuz. 

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah penamatan sekatan ke atas pelabuhan Iran, pembayaran pampasan serta pemansuhan sekatan ekonomi.

"Kami tidak mempercayai Amerika Syarikat; negara itu berulang kali mengkhianati diplomasi dan rundingan," katanya.

Selat Hormuz terus jadi pertikaian

Memorandum persefahaman yang dimeterai antara Washington dan Tehran pada Jun lalu dilaporkan gagal diteruskan, sebahagiannya disebabkan pertikaian mengenai masa depan Selat Hormuz.

Laluan sempit yang menghubungkan Iran dan Oman itu merupakan salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia dan sebelum konflik tercetus, kira-kira satu perlima bekalan tenaga global melalui kawasan berkenaan.

Iran mahu mempunyai kawalan lebih besar ke atas selat itu serta mengenakan bayaran kepada kapal yang diberi kebenaran melaluinya. Sebaliknya, Washington menegaskan laluan tersebut perlu kekal sebagai perairan antarabangsa yang terbuka.

Dalam kenyataan di platform X, Sheikh Mohammed berkata, beliau menekankan kepentingan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.

Kementerian Luar Qatar turut memaklumkan, beliau dan Araqchi membincangkan cadangan untuk mewujudkan koridor perkapalan sementara Iran-Oman serta projek bersama bagi membersihkan periuk api di kawasan tersebut.

Pengawal Revolusi Iran pada Rabu berkata, Tehran dan Muscat pada dasarnya telah bersetuju untuk menguruskan trafik perkapalan di selat itu serta berkongsi hasil pendapatan, namun sumber kanan Iran kemudian menjelaskan perincian perjanjian masih dalam rundingan.

Rezaei berkata, Iran sedang menyediakan senarai syarat rasmi untuk pembukaan semula Selat Hormuz selepas diminta oleh pihak pengantara untuk mengemukakannya.

Iran telah berdepan pelbagai bentuk sekatan AS sejak Revolusi Islam 1979.

Walaupun mengalami kerugian ketenteraan yang besar sepanjang konflik, Iran masih mempunyai keupayaan peluru berpandu dan dron yang mencukupi untuk menyerang negara-negara Teluk yang menempatkan tentera AS serta mengganggu operasi perkapalan di Selat Hormuz.

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) melaporkan sebanyak 70 insiden berlaku di Selat Hormuz sejak 28 Februari lalu yang mengorbankan 19 pelaut.

Konflik yang bermula dengan serangan AS dan Israel terhadap Iran itu turut menyebabkan ribuan kematian, kebanyakannya di Iran dan Lubnan, ketika Washington dan Tel Aviv berusaha menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear, menjejaskan program peluru berpandunya serta melemahkan kerajaan sedia ada. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement