DUNIA
Qatar lancar jambatan udara bantuan gempa bumi Afghanistan

Lima pesawat Angkatan Udara Amiri Qatar yang membawa bantuan kemanusiaan daripada Dana Pembangunan Qatar telah tiba di ibu negara Afghanistan, Kabul. - Foto X/Ministry of Foreign Affairs - Qatar
ISTANBUL: Qatar pada Sabtu mengumumkan pelancaran jambatan udara bagi menyalurkan bantuan ke Afghanistan susulan gempa bumi dahsyat, sehari selepas mengesahkan sembilan pesawat sudah tiba di Kabul, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Luar dalam kenyataan di platform media sosial X, berpangkalan di Amerika Syarikat, menyatakan bahawa "Angkatan Tentera Qatar melancarkan jambatan udara bantuan kemanusiaan segera ke Afghanistan dengan kerjasama Kementerian Luar dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri."
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan dibuat "atas arahan Amir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani."
Berdasarkan rakaman video yang dilampirkan, bantuan tersebut merangkumi hospital medan serta bantuan perubatan, makanan, tempat perlindungan dan operasi menyelamat selepas gempa bumi yang mengorbankan banyak nyawa di Afghanistan.Video itu turut menyatakan bahawa Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Mariam bint Ali bin Nasser Al Misnad mengetuai misi berkenaan, menjadikannya menteri Qatar pertama yang tiba di Afghanistan dalam tugasan kemanusiaan.
Kementerian Luar pada Jumaat berkata "lima pesawat Angkatan Udara Amiri Qatar yang membawa bantuan kemanusiaan daripada Dana Pembangunan Qatar telah tiba di ibu negara Afghanistan, Kabul.
Bantuan itu adalah sebahagian daripada operasi penghantaran udara oleh Qatar untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Afghanistan berikutan gempa bumi yang melanda timur Afghanistan. Dengan ini jumlah pesawat yang dihantar meningkat kepada sembilan."
Gempa bumi pada Ahad lalu itu mengorbankan lebih 2,200 orang dan mencederakan 4,000 yang lain, menyebabkan kemusnahan besar di wilayah timur Kunar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami