Skip to main content

Malaysia

Raja Permaisuri Agong zahir kagum seni bina, warisan Islam Uzbekistan

RAHMAT, UZBEKISTAN!  Oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah 7 Mei 2026 Samarkand, Uzbekistan  Sebagai seorang yang bersekolah rendah di Malaysia, kemudian ke sekolah menengah dan universiti di England, saya telah mempelajari serta menyerap pengaruh budaya Malaysia dan British. Malah, ibu bapa saya membawa kami bercuti ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Raja Permaisuri Agong juga menzahirkan kekaguman terhadap keindahan seni bina tiga bangunan utama Dataran Registan di Samarkand, yang memukau. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa kagum terhadap keindahan seni bina, warisan Islam serta layanan mesra rakyat Uzbekistan sepanjang lawatan ke negara Asia Tengah itu, baru-baru ini.

Raja Zarith Sofiah menerusi catatan bertajuk “Rahmat, Uzbekistan!” bertarikh 7 Mei yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, menyifatkan lawatan ke Uzbekistan sebagai pengalaman yang meninggalkan kenangan indah dan cukup bermakna.

“Sudah sekian lama, ramai orang - seperti saya - hanya terfikir untuk melancong ke negara-negara di dunia Barat. Kami tidak cukup pengetahuan tentang negara-negara di Asia Tengah.

“Saya pulang ke Malaysia dengan kenangan indah tentang Uzbekistan. Setiap orang yang kami temui telah menunjukkan kemesraan serta layanan luar biasa kepada kami. Bandar-bandarnya, jika dibandingkan dengan beberapa tempat yang pernah saya kunjungi, sangat bersih!” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda turut memuji kebersihan bandar-bandar di Uzbekistan termasuk Tashkent dan Samarkand yang disifatkan indah dengan bunga-bungaan serta taman awam untuk orang ramai bersiar-siar.

Raja Zarith Sofiah turut terpikat dengan hasil seni tempatan yang dipamerkan di kedai cenderamata di Tashkent, termasuk ukiran kayu halus, lukisan terperinci serta tekstil bersulam berwarna-warni yang mencerminkan nilai seni tinggi rakyat Uzbekistan.

“Selain itu, terdapat selendang, jaket dan jubah labuh yang disulam dengan warna-warna yang begitu menyerlah. Lawatan ke Pusat Ketamadunan Islam merupakan satu pengalaman yang akan saya ingat dan hargai selamanya.

“Saya harap saya mempunyai lebih banyak masa untuk melihat semua paparan yang berbeza. Pusat tersebut benar-benar mencerminkan keluasan ilmu para cendekiawan Zaman Kegemilangan Islam,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Permaisuri Agong juga menzahirkan kekaguman terhadap keindahan seni bina tiga bangunan utama Dataran Registan di Samarkand, yang memukau,sama ada pada bahagian luar mahupun dalaman masjid dan madrasah di kawasan berkenaan.

“Saya gemar melukis sekali sekala dan merasa sangat rendah diri melihat kesenian dan kemahiran semua tukang yang telah membina bangunan-bangunan tersebut serta kawasan persekitarannya.

“Kompleks Imam Bukhari juga mempamerkan sekali lagi bakat kesenian rakyat Uzbekistan serta warisan dan tradisi mereka. Saya sangat menyukai tiang-tiang kayu yang diukir. Saya juga akan sentiasa menghargai detik dapat berada di Maqam seorang daripada cendekiawan teragung dalam Islam,” menurut nukilan itu.

Baginda bertitah muzium interaktif di kompleks itu turut memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai kehidupan serta sumbangan ulama besar Islam, Imam al-Bukhari, yang kompilasi hadisnya terus menjadi panduan umat Islam sehingga kini.

Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan hasrat untuk kembali semula ke Uzbekistan bersama keluarga pada masa hadapan dan merakamkan penghargaan kepada rakyat negara itu atas layanan mesra serta perkongsian ilmu sepanjang lawatan tersebut.

-- BERNAMA

Must Watch Video