Bekas penyelam SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, yang menemui ajal semasa menyertai misi menyelamat 13 pemain bola sepak pasukan "Mu Pa" (Wild Boar) yang terperangkap di dalam gua Tham Luang di Chiang Rai baru-baru ini, diberi kenaikan pangkat secara anumerta oleh Raja Thailand Maha Vajiralongkorn pada Sabtu.

Menurut Royal Gazette, mendiang Saman Kunan, 38 tahun, dinaikkan pangkat kepada Lt Komander.

Ini kenaikan pangkat kali kedua bagi Saman selepas tragedi yang berlaku pada 6 Julai lalu apabila mendiang meninggal dunia semasa menjalankan tugas menambah oksigen ke dalam tangki di Chamber 3 gua yang dilanda banjir itu.

Sejurus selepas kematiannya, Saman dinaikkan pangkat daripada Sarjan kepada Leftenan.

Raja Thailand itu juga menaja perbelanjaan urusan pengebumian penyelam berkenaan.

BACA: Penyelam Thai maut dalam misi menyelamatkan pasukan bola sepak di gua

BACA: Kenali wira-wira penyelam gua Tham Luang

BACA: Kronologi remaja Thailand sesat di gua


Saman, yang pernah mewakili Thailand dalam acara triathlon, bersara daripada perkhidmatan tentera pada 2006 dan menawarkan diri secara sukarela untuk menyertai misi menyelamat mangsa di gua Tham Luang yang berisiko tinggi itu. Ketika itu, dia berkhidmat dengan Airport of Thailand (AOT) di unit keselamatan.

Dalam klip video sebelum berlepas ke Chiang Rai, Saman berjanji akan membawa pulang mereka yang terperangkap di dalam gua itu.

Wira yang gugur itu meninggalkan isteri, Valeepoan serta ibu bapa yang sudah berusia lanjut. Saman akan disemadikan di wilayah Roi Et di timur laut Thailand lewat Sabtu.

-- BERNAMA