KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan statistik rasmi bagi menyokong penggubalan dasar yang lebih tepat dan berkesan, termasuk melalui penghasilan indikator yang lebih granular, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata indikator tersebut akan dibangunkan mengikut kumpulan pendapatan, lokasi dan demografi bagi memastikan dasar dan intervensi yang dilaksanakan adalah lebih bersasar serta berkesan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan berpandangan bahawa kadar inflasi rasmi merupakan antara petunjuk penting dalam menilai perubahan harga, namun indikator ini perlu dilihat bersama dengan indikator lain bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai keadaan sebenar isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Azahar Hassan mengenai penilaian terhadap jurang antara data inflasi rasmi dan pengalaman sebenar pengguna serta cadangan membangunkan indeks kos sara hidup mengikut kumpulan pendapatan dan wilayah.
Mohd Shahar berkata kerajaan telah membangunkan Indikator Kos Sara Hidup pada 2024, yang mengukur kos sara hidup secara lebih terperinci berasaskan data Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) serta Indeks Harga Pengguna bagi memastikan analisis yang dihasilkan lebih mencerminkan corak perbelanjaan sebenar isi rumah.
Sehingga kini, indikator kos sara hidup seperti Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (Indeks PAKW), Indeks Kos Sara Hidup dan Purata PAKW telah tersedia sehingga peringkat daerah pentadbiran.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menggunakan pelbagai indikator seperti survei pendapatan isi rumah, statistik gaji dan upah serta indeks kesejahteraan rakyat (MyWI) untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA