KUALA LUMPUR: Kesemua 113 pelarian termasuk etnik Rohingya, yang sebelum ini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dipindahkan ke Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang selepas selesai menjalani proses dokumentasi pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pemindahan itu membabitkan 109 pelarian Rohingya bersama masing-masing seorang warga Indonesia, seorang pelarian Iraq dan seorang pelarian Somalia.
Beliau berkata, majoriti pelarian menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke destinasi masing-masing manakala pemilihan lokasi dibuat berdasarkan kenalan atau ahli keluarga mereka.
"Daripada jumlah itu, seramai 66 pelarian ditempatkan di Kuala Lumpur, 29 di Selangor dan 18 lagi di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.
Beliau berkata, proses dokumentasi dijalankan di IPK Kuala Lumpur, dari jam 12.01 tengah malam hingga 4.30 petang pada Selasa.
Katanya, tujuh wakil Malaysian Relief Agency (MRA) turut hadir bagi menyampaikan sumbangan makanan serta menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pelarian terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan pelarian Rohingya itu berkumpul di hadapan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur selepas mendakwa diusir oleh penduduk di sebuah penempatan di Pulau Pinang.