KUALA LUMPUR: Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah mengecil selama lima tahun berturut-turut sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam pelan pembaharuan ekonomi dan fiskal telah membuahkan hasil, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata defisit fiskal Kerajaan Persekutuan terus menunjukkan trend penyusutan kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 berbanding 4.1 peratus pada 2024, 5.0 peratus pada 2023, 5.5 peratus pada 2022 dan 6.4 peratus pada 2021.
Katanya selaras dengan usaha konsolidasi fiskal, pinjaman baharu kerajaan turut berkurang iaitu daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022, berkurang kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan seterusnya RM77 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada tahun lepas.
Beliau berkata hasil pelaksanaan dasar fiskal yang lebih berhemat, kadar pertumbuhan hutang Kerajaan Persekutuan juga telah menunjukkan trend penurunan yang konsisten.
“Hutang kerajaan menurun pada 5.9 peratus pada 2025 daripada 6.4 peratus pada 2024, 8.6 peratus pada 2023 dan 10.2 peratus pada 2022 dan 11.4 peratus pada 2021.
“Kerajaan kekal komited untuk memastikan kadar pertumbuhan hutang terus berada pada paras yang lebih rendah bagi 2026 berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Leong Ngah Ngah mengenai langkah kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal memandangkan nisbah hutang kini menghampiri 60 peratus daripada KDNK.
Liew berkata sehingga akhir Mac 2026, nisbah hutang kerajaan mencatatkan 63.1 peratus daripada KDNK, lebih rendah berbanding 65.2 peratus pada akhir 2025.
Menurutnya pelaporan nisbah itu adalah berdasarkan KDNK tahun semasa dan kaedah ini juga diguna pakai bagi pelaporan tahun terdahulu.
“Dalam hubungan ini, kerajaan kekal berdisiplin dan mematuhi semua had statutori hutang yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata hutang statutori yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) pada akhir 2025 adalah 63.9 peratus, dan sehingga akhir Mac 2026 berada pada paras 61.9 peratus daripada KDNK, iaitu masih di bawah had 65 peratus.
Pinjaman luar pesisir berjumlah RM20.8 bilion, jauh di bawah siling RM35 bilion dan Bil Perbendaharaan Malaysia berjumlah RM4.5 bilion iaitu kekal di bawah had RM10 bilion, katanya.
-- BERNAMA