Rakyat Amerika risau hala tuju negara, salahkan Trump akibat inflasi - Tinjauan

Kebanyakan rakyat AS dilihat tidak berpuas hati dengan keadaan semasa, dengan lebih separuh menyatakan ekonomi merosot di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. - Gambar fail/Reuters/Evelyn Hockstein
ISTANBUL: Kira-kira dua pertiga rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya negara itu sedang "menyimpang jauh daripada landasan yang betul," manakala kurang daripada satu pertiga berpendapat AS menuju ke arah yang betul, menurut tinjauan baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kebanyakan rakyat AS dilihat tidak berpuas hati dengan keadaan semasa, dengan lebih separuh menyatakan ekonomi merosot di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, menurut tinjauan oleh ABC News/Washington Post/Ipsos yang dijalankan melalui panel pengetahuan Ipsos dan dilaporkan ABC pada Ahad.
Ramai berpendapat kedua-dua parti politik dan presiden tidak memahami kehendak rakyat, sementara kebimbangan terhadap penutupan kerajaan - yang kini berlarutan lebih sebulan - terus meningkat.
Sebahagian besar penyokong Demokrat (95 peratus) dan bebas (77 peratus) berbanding Republikan (29 peratus) berkata negara "benar-benar berada di landasan yang salah."
Pandangan sama turut dikongsi oleh majoriti warga kulit hitam (87 peratus), Hispanik (71 peratus) dan Asia (71 peratus) berbanding warga kulit putih (61 peratus).
Majoriti penduduk bandar, pinggir bandar dan luar bandar, termasuk pelbagai latar pendidikan serta tahap pendapatan, turut percaya negara itu sedang menuju ke arah yang salah.
Walaupun 67 peratus kini berpendapat negara berada di landasan salah, angka itu menurun berbanding 75 peratus pada November 2024, menjelang pilihan raya presiden yang membawa Trump kembali berkuasa.
Kira-kira enam daripada setiap 10 rakyat AS menyalahkan Trump atas kadar inflasi semasa, manakala lebih enam daripada 10 tidak bersetuju dengan cara beliau mengendalikan isu tarif yang dipercayai mendorong kenaikan harga - serta terhadap pengurusan ekonomi dan kerajaan persekutuan secara keseluruhan.
Majoriti responden juga tidak bersetuju dengan pendekatan Trump dalam beberapa isu lain.
Selain itu, 64 peratus rakyat AS berpendapat Trump "melampaui batas" dalam usahanya memperluas kuasa presiden.
Namun, 68 peratus juga berpendapat Parti Demokrat "tidak sehaluan dengan kebimbangan rakyat AS pada masa kini," berbanding 63 peratus yang mengatakan perkara sama tentang Trump dan 61 peratus mengenai Parti Republikan.
Hampir separuh rakyat AS (48 peratus) berkata kepimpinan global negara mereka semakin lemah di bawah Trump, manakala 33 peratus percaya ia semakin kukuh dan 18 peratus berpendapat tiada perubahan - angka yang hampir tidak berubah sepanjang penggal kedua pemerintahannya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


