Skip to main content

Dunia

Rantau Eropah catat kemajuan tangani hepatitis, namun masih belum capai sasaran 2030 - WHO

41628242162_vaksinasisarawak.jpg
Rantau Eropah merekodkan kemajuan dalam program vaksinasi, selain penurunan jangkitan dan kematian akibat penyakit itu. - Gambar fail
Advertisement

OSLO: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memaklumkan Rantau Eropah mencatat kemajuan ketara dalam usaha mencegah hepatitis virus dan mengawal hepatitis C, namun masih belum berada pada landasan untuk mencapai semua sasaran penghapusannya menjelang 2030 berikutan jutaan penduduk masih belum didiagnosis dan menerima rawatan.

Dalam kenyataan sempena Hari Hepatitis Sedunia yang disambut pada Selasa, Pejabat Serantau WHO bagi Eropah yang berpangkalan di Copenhagen memaklumkan rantau itu merekodkan kemajuan dalam program vaksinasi, selain penurunan jangkitan dan kematian akibat penyakit itu, lapor Xinhua.

Menurut Laporan Hepatitis Global 2026, peluasan program vaksinasi telah mengurangkan prevalens hepatitis B dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun di rantau itu kepada anggaran 0.06 peratus, iaitu di bawah ambang penghapusan global sebanyak 0.1 peratus.

Sejak 2015, jumlah jangkitan baharu hepatitis B menurun sebanyak 54 peratus, manakala jangkitan baharu hepatitis C berkurangan sebanyak 28 peratus. Dalam tempoh sedekad lalu, bilangan individu yang hidup dengan hepatitis C menurun sebanyak 29 peratus, manakala kematian berkaitan virus itu berkurangan sebanyak 33 peratus.

Walaupun mencatat kemajuan, dianggarkan 9.7 juta penduduk di rantau itu hidup dengan hepatitis B dan 5.6 juta lagi menghidap hepatitis C. Hanya 23 peratus daripada penghidap hepatitis B telah didiagnosis, manakala hanya 4.2 peratus daripada mereka yang didiagnosis menerima rawatan, menurut WHO.

WHO menggesa negara di seluruh Rantau Eropah menghapuskan halangan terhadap saringan dan rawatan, mengekalkan program pencegahan serta meneruskan pelaburan bagi mencapai matlamat penghapusan hepatitis.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement