WASHINGTON: Dengan pendakwaan terhadap Raul Castro, Amerika Syarikat (AS) kini menyasarkan tiga pemimpin semasa atau bekas ketua negara dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini - satu tahap campur tangan luar biasa yang dilihat sukar dipertahankan oleh Presiden Donald Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Bekas pemimpin Cuba itu menyertai senarai yang turut merangkumi bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang digulingkan menerusi operasi berani AS pada Januari, serta Ali Khamenei, bekas pemimpin Iran yang terkorban dalam serangan udara pada peringkat awal perang AS-Israel dengan negara itu.
Kes melibatkan Venezuela, Iran dan kini Cuba sememangnya berbeza antara satu sama lain.
Namun, ketiga-tiganya berkongsi satu persamaan iaitu kecenderungan Trump dalam penggal keduanya untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain, walaupun beliau sebelum ini berkempen pada 2024 dengan janji untuk menamatkan penglibatan AS di luar negara.
Dalam kes Venezuela dan Iran, Trump berhujah bahawa kedua-dua negara itu menimbulkan ancaman keselamatan nasional secara langsung kepada AS.
Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana ancaman yang dikaitkan dengan Castro - seorang tokoh berusia 94 tahun - akan dijelaskan, memandangkan beliau berkemungkinan besar tidak akan pernah dibicarakan di mahkamah AS. - Agensi