DUNIA
Remaja 14 tahun maut dihempap bantuan dari udara di Gaza

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kejadian berlaku berhampiran kawasan pelarian Nuseirat di tengah Gaza. - Gambar fail/ AP
TEL AVIV: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Semenanjung Gaza maut selepas dihempap bungkusan bantuan yang digugurkan dari udara ke wilayah itu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas dihempap bungkusan bantuan yang digugurkan dari udara berhampiran kawasan pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.
- Guguran bantuan udara yang dibenarkan Israel sejak akhir bulan lepas turut menyebabkan kecederaan kepada enam individu lain, termasuk kanak-kanak, dalam insiden berasingan di Bandaraya Gaza.
- Kaedah penghantaran bantuan melalui udara dikritik sebagai berisiko dan tidak berkesan, manakala penghantaran darat pula berdepan isu rampasan bekalan sebelum sampai kepada golongan yang memerlukan.
Pada Jumaat, pegawai Palestin berkata enam orang, kebanyakannya kanak-kanak, cedera di Bandaraya Gaza apabila sebuah kotak bantuan yang jatuh terkena balkoni, menyebabkan struktur itu runtuh.
Guguran udara itu menjadi isu kontroversi, dengan pengkritik menyifatkannya tidak berkesan dan berbahaya. Menurut kumpulan bantuan, lebih banyak bekalan boleh dihantar dengan selamat menggunakan trak jika Israel membenarkannya.
Namun, penghantaran menggunakan trak juga kurang diyakini keberkesanannya dengan banyak bekalan dirompak - sama ada oleh orang awam mahupun kumpulan bersenjata - sebelum sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
Menurut tentera Israel, pada Sabtu pesawat dari Jerman, Belanda, Greece, Itali, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan menggugurkan 106 kotak bantuan di Gaza.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami