SYDNEY: Seorang remaja dimasukkan ke hospital selepas ditembak dalam kejadian yang disyaki sebagai serangan bersasar di barat Sydney pada Khamis malam, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, polis berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tembakan di Greenacre, pinggir barat Sydney, kira-kira 9 malam waktu tempatan.
Setibanya di lokasi, polis dimaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 18 tahun telah ditembak dua kali di dada sebelum dibawa meninggalkan tempat kejadian dengan sebuah kenderaan.
Mangsa kemudian ditemukan pasukan kecemasan dan dibawa ke hospital oleh anggota paramedik.
Kenderaan yang dinaiki mangsa telah disita polis untuk pemeriksaan forensik, manakala sebuah lagi kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditemukan terbakar di pinggir bandar berhampiran pada awal pagi Jumaat.
Media tempatan melaporkan bahawa polis percaya serangan itu merupakan serangan bersasar dan sedang menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan jenayah terancang.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak penyiasat.
-- BERNAMA-XINHUA