KUALA LUMPUR: Resolusi baharu perlu diusulkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) jika Israel masih berdegil dengan tidak menguatkuasakan gencatan senjata di Palestin.

Pengerusi Bersama Pasukan Undang-undang Yayasan MyAQSA, Lukman Sheriff Alias berkata, resolusi baharu ini perlu mengandungi butiran kuasa pelaksanaan kepada negara-negara tertentu atau mana-mana badan dunia.

“Mungkin selepas ini, jika berlaku ketidakpatuhan, satu lagi resolusi perlu dikemukakan kepada UNSC untuk meminta kuasa pelaksanaan diberikan kepada negara-negara tertentu atau badan dunia.

“Walaupun begitu, mungkin kita berdepan dengan masalah yang sama jika Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.


Resolusi baharu perlu diusulkan jika Israel berdegil - Yayasan MyAqsa


Jelasnya, Resolusi 2728 yang diluluskan oleh UNSC pada 25 Mac lalu tidak memberikan kuasa secara jelas kepada mana-mana negara atau badan antarabangsa untuk melaksanakan butiran resolusi tersebut.

Ini berbeza dengan resolusi UNSC yang pernah diluluskan bagi menangani pemberontakan yang berlaku di Libya.

“Saya rasa resolusi ini tidak memadai. Jika ia tidak dipatuhi oleh Israel tiada tindakan yang boleh diambil. Ini berbeza dengan resolusi berkaitan Libya yang menuntut gencatan senjata segera.

“Pada masa yang sama membenarkan badan antarabangsa untuk mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan kepatuhan. Kali ini Resolusi 2728 hanya menyatakan tuntutan-tuntutan kepada pihak Israel dan Hamas, tetapi terlalu ringkas dan tidak memadai untuk dilaksanakan,” ujarnya lagi.

UNSC pada Isnin telah meluluskan resolusi bagi gencatan senjata di Palestin, pembebasan semua tahanan dan meningkatkan bantuan kemanusiaan bagi penduduk di wilayah Gaza.

Dunia menyambut baik resolusi tersebut, namun Israel tetap berkeras untuk meneruskan kempen memusnahkan Hamas.


Agenda AWANI: Desak Israel patuh resolusi gencatan senjata UNSC