KAHERAH (Mesir): Penerimaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza dibuat lewat dan masih jauh daripada mencapai gencatan senjata sepenuhnya seperti yang diharapkan, kata Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmad Aboul Gheit.

"Resolusi No. 2272 yang diterima pakai pada Jumaat merupakan antara usaha mencegah kebuluran di Semenanjung Gaza dan menyelamatkan nyawa orang ramai terutamanya wanita dan kanak-kanak daripada situasi bencana, tetapi tidak cukup menghentikan jentera perang Israel kerana ia tidak termasuk gencatan senjata," katanya dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Beliau berkata keputusan itu dibuat lewat selepas penangguhan atas permintaan Israel, sambil menekankan bahawa apa yang diperlukan bukan sahaja bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tetapi perlindungan bagi orang awam daripada pengeboman berterusan, mencapai gencatan senjata mapan dan memulakan operasi bantuan besar-besaran segera membabitkan ratusan ribu rakyat yang kekurangan keperluan asas.

"Setiap langkah untuk meringankan penderitaan orang awam di Gaza adalah langkah yang betul, tetapi menangani malapetaka kemanusiaan tidak boleh dicapai melalui langkah separa atau tanpa menangani puncanya semata-mata untuk membendung kemarahan masyarakat dunia atas apa yang berlaku di Gaza," kata Aboul Gheit.

Setiausaha Agung itu juga menegaskan bahawa menolak gencatan senjata serta-merta seakan-akan memberi "lesen untuk membunuh," sambil menjelaskan bahawa usaha Liga Arab tidak akan berhenti untuk menamatkan perang, menyeru Amerika Syarikat untuk menilai semula keadaan dan mengambil keputusan yang betul daripda segi kemanusiaan dan politik.

Resolusi UNSC bertajuk "Memantau dan Meningkatkan Bantuan ke Gaza" diterima pada 22 Dis di New York, menyeru agar akses kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza dipercepatkan, dijamin selamat dan diperluas serta mewujudkan suasana sesuai bagi menghentikan kekejaman.

Sementara itu, Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin berkata keputusan Majlis Keselamatan PBB mengenai penyampaian bantuan ke Gaza adalah satu langkah ke arah yang betul, walaupun ia ditangguhkan sebelum ini.

Penerimaan resolusi yang disokong UAE itu adalah satu langkah untuk menghentikan pencerobohan Israel, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, kebuluran, dan kekangan untuk terus hidup bagi rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, menurut kementerian itu.

-- BERNAMA