Skip to main content

Malaysia

Malaysia komited perkukuh hubungan pertahanan dengan AS

Mohamed Khaled berkata, Malaysia mengalu-alukan penglibatan AS di Asia Tenggara, selain menghargai sumbangan Washington sejak sekian lama dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau. - Bernama
Mohamed Khaled berkata, Malaysia mengalu-alukan penglibatan AS di Asia Tenggara, selain menghargai sumbangan Washington sejak sekian lama dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau. - Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat (AS), sama ada secara dua hala atau menerusi mekanisme diterajui ASEAN, sambil memelihara perpaduan dan kepusatan ASEAN dalam mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia mengalu-alukan penglibatan AS di Asia Tenggara, selain menghargai sumbangan Washington sejak sekian lama dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau.

Beliau berkata mekanisme sedia ada, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) menawarkan potensi besar untuk memperdalam kerjasama menerusi latihan bersama, inisiatif pembangunan kapasiti dan pertukaran profesional ketenteraan.

“Kami juga menantikan Rangka Kerja Kerjasama Pertahanan AS-ASEAN pada tahun depan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat di Cebu, Filipina, hari ini.

Mohamed Khaled berkata AS kekal sebagai rakan penting dalam mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini, sambil menyatakan harapan supaya Washington memainkan peranan lebih kukuh dan konstruktif dalam hal ehwal serantau.

Beliau berkata kerjasama pertahanan tidak seharusnya terhad kepada peningkatan keupayaan operasi, sebaliknya turut merangkumi usaha membina kepercayaan dan persefahaman lebih erat dengan institusi pertahanan.

Mohamed Khaled also stressed the importance of preserving ASEAN’s unity and centrality, saying a peaceful, stable and united ASEAN served the interests of both member states and their external partners.

Malaysia kekal sebagai rakan yang boleh dipercayai dan konstruktif dalam memajukan kepentingan bersama, meskipun terdapat perbezaan pandangan mengenai isu tertentu.

Mohamed Khaled turut menekankan kepentingan memelihara perpaduan dan kepusatan ASEAN, sambil menyatakan bahawa ASEAN yang aman, stabil dan bersatu padu memenuhi kepentingan negara anggota serta negara yang menjadi rakan kongsi. 

Beliau berkata acuan serantau ASEAN yang berteraskan dialog, saling menghormati, penyelesaian pertikaian secara aman dan kerjasama telah membolehkan negara-negara yang mempunyai sistem politik, kepentingan dan pandangan berbeza menjalani kehidupan dengan harmoni serta makmur. 

“Kami berharap Amerika Syarikat akan terus memahami dan menghargai keunikan ASEAN, termasuk kepentingan yang kami berikan kepada perpaduan, keterangkuman dan keupayaan untuk mengekalkan hubungan konstruktif dengan semua rakan,” katanya.

“Pendekatan kami bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak. Sebaliknya, bertujuan memelihara keamanan dan kestabilan yang membolehkan rantau kita mencapai kemakmuran,” katanya.

ASEAN yang lebih kukuh dan berdaya tahan dapat menyediakan asas yang mantap untuk memperkukuh kerjasama dengan AS.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement