Ringkasan AI
- DAP Sarawak telah mencapai 90 peratus tahap persiapan menghadapi PRN Sarawak ke-13, termasuk pemilihan calon dan persiapan logistik.
- Rundingan pembahagian kerusi antara parti gabungan Pakatan Harapan masih belum dimuktamadkan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.
- DAP memberi tumpuan kepada isu semak dan imbang dalam DUN serta masalah setempat seperti pengangkutan awam, banjir kilat dan bekalan air bersih.
KUALA LUMPUR: DAP Sarawak kini mencapai kira-kira 90 peratus tahap persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, termasuk pemilihan calon, gerak kerja di lapangan serta persiapan logistik dan operasi.
Setiausaha Publisiti DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan penggal pentadbiran semasa semakin menghampiri penghujungnya.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, DAP Sarawak telah membuat persiapan awal dan melaksanakan gerak kerja di lapangan menjelang pilihan raya berkenaan.
"Kami sudah membuat persiapan dan gerak kerja di lapangan telah dilaksanakan menjelang tarikh ini," katanya dalam temu bual secara dalam talian bersama Astro AWANI hari ini.
Kelvin berkata, persiapan parti kini meliputi kerusi yang bakal ditandingi, pemilihan calon serta urusan logistik dan operasi pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan Pakatan Harapan masih belum dimuktamadkan.
"Kami masih berbincang dan sedang memuktamadkannya, tetapi formula umum adalah hampir sama. Selepas keputusan dibuat, kami akan mengumumkannya pada masa yang sesuai," katanya.
Pada PRN Sarawak ke-12 pada Disember 2021, DAP bertanding di 26 kerusi DUN, namun hanya memenangi dua kerusi, iaitu Padungan dan Pending.
Secara keseluruhan, Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi dua daripada 82 kerusi DUN Sarawak, manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 76 kerusi.
Keputusan itu menyaksikan DAP kehilangan lima daripada tujuh kerusi yang dimenanginya pada PRN Sarawak 2016.
Mengulas mengenai dominasi GPS di Sarawak, Kelvin mengakui terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kedudukan gabungan itu, termasuk dasar dan isu yang dibawa untuk rakyat.
Beliau berkata, DAP dan PH Sarawak akan terus menekankan kepentingan semak dan imbang dalam DUN, selain menyokong dasar yang baik untuk negeri itu.
"Kami akan menyokong perkara dan dasar yang baik untuk Sarawak, tetapi kami juga mahu memastikan dasar yang diumumkan itu dilaksanakan dengan betul supaya rakyat Sarawak mendapat manfaat sepenuhnya," katanya lagi.
Kelvin berkata, selain isu di peringkat negeri, DAP turut memberi perhatian kepada isu setempat termasuk pengangkutan awam, banjir kilat, kesesakan lalu lintas, perjudian haram dan masalah bekalan air bersih.