Cuaca buruk yang melanda pantai timur Australia dan membawa gelombang besar ke pantai Sydney telah meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa dan beberapa lagi dilaporkan hilang, kata polis pada Isnin.

AFP melaporkan, ribut kuat yang membadai kawasan pesisiran pantai pada hujung minggu lalu mengakibatkan banjir di New South Wales sementara garis pantai juga mengalami hakisan teruk.

“Ribut yang dahsyat ini telah mengorbankan nyawa. Ia juga mengancam nyawa manusia di sepanjang pesisiran pantai,” ujar Ketua Menteri New South Wales, Mike Baird.

Biro Meteorologi berkata, gabungan hujan, angin dan ombak telah menghasilkan keadaan yang ekstrem.

Salah satu bahagian Sydney kini dilanda banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun, sementara stesen pemantauan cuaca Observatory Hill menerima 226 milimeter hujan pada hujung minggu baru-baru ini, jauh melebihi bacaan purata bulanan.

Biro itu melaporkan, kelajuan angin mencatatkan bacaan 115 kilometer sejam di Pelabuhan Sydney ketika ribut berlaku, manakala dua daripada tiga landasan di lapangan terbang Sydney terpaksa ditutup.

Pihak polis berkata, dua pemandu dari dua tempat berasingan – Leppington dan Bowral - dikhuatiri maut apabila kereta mereka dihanyutkan air lalu terhumban ke laut, hingga memaksa pasukan penyelam bertungkus-lumus mencari kedua-dua mangsa tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa memberitahu, mayat seorang lelaki ketiga dijumpai berdekatan kawasan lintasan sungai yang melimpah di Canberra.

Ribut yang bergerak ke arah selatan dari Queensland itu merentasi New South Wales dan ke Tasmania, sekali gus meningkatkan kebimbangan tentang ancaman air bah.