Skip to main content

Dunia

Ribut musim sejuk landa timur laut AS, NYC umum larangan perjalanan

Ice is in front of the Statue of Liberty as seen from the Coast Guard Cutter Hawser icebreaker tug boat in Upper New York Harbor in New York, Wednesday, Feb. 11, 2026. (AP Photo/Ted Shaffrey)
NYC mengeluarkan larangan perjalanan penuh bermula 9 malam Ahad hingga 12 tengah hari Isnin. - Foto AP

NEW YORK: Ribut musim sejuk bersejarah sedang melanda bahagian timur laut Amerika Syarikat (AS), menyebabkan kira-kira 54 juta penduduk berada di bawah amaran ribut salji dan memaksa beberapa negeri mengisytiharkan darurat serta mengenakan larangan perjalanan, termasuk bandar raya New York (NYC).

Ribut nor’easter yang diramal sebagai paling kuat dalam hampir sedekad dijangka membawa salji lebat, angin kencang dan banjir pesisir ke kawasan padat penduduk sepanjang pesisir Atlantik dari Ahad hingga Isnin.

Advertisement

NYC mengeluarkan larangan perjalanan penuh bermula 9 malam Ahad hingga 12 tengah hari Isnin, dengan Datuk Bandar Zohran Mamdani mengumumkan penutupan semua jalan raya, lebuh raya dan jambatan kepada trafik kecuali kenderaan kecemasan. Sekolah-sekolah turut dibatalkan.

Beberapa negeri lain turut mengisytiharkan darurat, termasuk:

  • Connecticut, Delaware, New Jersey dan Rhode Island, yang mengenakan sekatan perjalanan sebagai langkah keselamatan.
  • New York, yang turut mengaktifkan kira-kira 100 anggota Pengawal Nasional.

Gabenor New York, Kathy Hochul, memberi amaran bahawa ribut ini merupakan sesuatu yang “tidak pernah disaksikan sejak bertahun-tahun” dengan risiko ribut pesisir, pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik.

Sementara itu, Gabenor New Jersey Mikie Sherrill turut menghentikan perkhidmatan pengangkutan awam, dengan beliau menyifatkan ribut ini berpotensi menjadi yang terburuk sejak 1996.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) menjangka antara 46 hingga 60 sentimeter (cm) salji di kawasan metro NYC, dengan beberapa tempat mungkin menerima sehingga 70cm.

Suhu juga diramal menjunam ke paras beku.

Angin kencang dengan kelajuan 105 hingga 113 km/j dijangka memburukkan lagi keadaan, mewujudkan situasi “whiteout" yang menyukarkan penglihatan dan menjadikan perjalanan hampir mustahil.

NWS menyatakan pusat tekanan rendah ribut ini bakal berkembang pesat pada lewat Ahad hingga malam, menjadikan nor’easter ini salah satu yang paling berimpak besar dalam kawasan berpenduduk padat di AS sejak beberapa tahun.

Lebih daripada 3,500 penerbangan dibatalkan dan ratusan lagi ditangguhkan pada Ahad sahaja, menurut laman penjejak penerbangan FlightAware.

Di Pennsylvania, Gabenor Josh Shapiro menandatangani pengisytiharan bencana untuk memastikan agensi negeri bersedia sepenuhnya dan menggesa penduduk untuk mengelakkan perjalanan tidak perlu.

Dalam masa yang sama, negeri-negeri di New England seperti Massachusetts dan Rhode Island turut mengisytiharkan darurat, dengan Boston menutup sekolah bagi menghadapi ancaman ribut salji.

Bahagian Maritimes di Kanada, termasuk pantai timur Nova Scotia, dijangka menerima hentaman paling teruk dengan amaran cuaca berwarna jingga dikeluarkan dari pagi Isnin hingga awal Selasa.

Ahli meteorologi NWS, Cody Snell, berkata bahawa walaupun ribut nor’easter bukan sesuatu yang luar biasa, namun kejadian sebesar ini meliputi kawasan luas dan sangat padat penduduk tidak berlaku sejak bertahun-tahun, menjadikan ribut kali ini berpotensi bersejarah.

 

Must Watch Video