NEW YORK:Datuk Bandar New York memaklumkan keadaan salji dan cuaca sejuk beku di seluruh bandar itu akan menjejaskan proses penghantaran bekalan vaksin COVID-19.

Bill De Blasio dalam sidang media hariannya menjelaskan janji temu yang ditetapkan untuk mendapat suntikan vaksin terpaksa ditunda.

“Seluruh negara, berlakunya ribut salji yang telah melambatkan proses penghantaran bekalan vaksin, jadi saya ingin memaklumkan bahawa malangnya akan berlaku penundaan penghantaran bekalan vaksin yang sepatutnya tiba semalam, tetapi hari ini ditunda.

“Ini bermakna kami perlu tunda janji temu yang telah ditetapkan oleh rakyat New York kerana vaksin tersebut belum tiba,” katanya.

Dianggarkan sehingga 35,000 janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin tidak dapat dilakukan.

Namun, pihaknya memberi jaminan akan memantau keadaan dari semasa ke semasa untuk menentukan perjalanan bekalan vaksin.