Setelah 10 tahun beroperasi, riwayat Brunei Times, satu daripada akhbar berbahasa Inggeris di Brunei, berakhir esok.

Dalam notis yang disiarkan di muka depan akhbar bersaiz lebar itu hari ini, Brunei Times berkata langkah itu diambil kerana "isu berkaitan kemapanan perniagaan, terutama dalam menghadapi cabaan besar daripada media alternatif".

Akhbar itu juga menyampaikan penghargaannya kepada kerajaan Brunei atas sokongan yang diberi, termasuk pemberian lesen penerbitan, di samping pelbagai isu yang dihadapinya.

"Bagaimanapun, Brunei Times kini tidak lagi mempunyai sumber lestari untuk meneruskan operasi media dan penerbitannya dan lembaga pengarah syarikat ini bersetuju bahawa tindakan terbaik ialah menutup operasinya," kata akhbar itu.

Sejajar dengan itu, akhbar berkenaan berharap para pembaca, pihak berkepentingan serta orang ramai memahami dan dapat menerima hakikat bahawa berikutan keadaan perniagaan serta cabaran yang dihadapi industri media di seluruh dunia ketika ini, tindakan menyedihkan itu tidak dapat dielakkan.

Beberapa wakil media berpejabat di Brunei yang dihubungi Bernama enggan mengulas tentang penutupan akhbar itu kerana berpendapat ia adalah 'perkara dalaman'.

Jumlah petugas yang kehilangan pekerjaan berikutan penutupan Brunei Times tidak dapat dipastikan kerana terdapat laporan bercanggah mengenai penutupannya.

The Bangkok Post hari ini melaporkan dalam laman sesawang rasminya, www.bangkokpost.com, bahawa penutupan itu mungkin menyebabkan 130 petugas kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, menurut www.journalismpakistan.com hari ini, 175 orang akan hilang pekerjaan.

Katanya, penutupan Brunei Times bukan kerana masalah kewangan.

Brunei Times dilancarkan pada 1 Julai 2006 dan diedar secara percuma hingga 16 Julai 2006.

-- BERNAMA