DUNIA
Roket buatan Australia pertama terhempas selepas beberapa saat dilancar

Dalam foto yang disediakan oleh Gilmour Space Technologies, roket Eris dilancarkan pada hari Rabu berhampiran Bowen, Australia. - Foto AP
QUEENSLAND: Detik bersejarah bagi industri angkasa Australia bertukar menjadi kekecewaan apabila roket buatan tempatan pertama, Eris, terhempas hanya 14 saat selepas dilancarkan dari Bowen Orbital Spaceport di utara Queensland.
Ringkasan AI
- Roket Eris buatan Australia terhempas 14 saat selepas pelancaran, namun dianggap pencapaian penting oleh Gilmour Space Technologies sebagai langkah awal keupayaan angkasa negara.
- Pakar menyatakan kegagalan pelancaran adalah lumrah dalam roket sains, dan pelancaran ini tetap memberi data berharga untuk cubaan seterusnya.
- Gilmour Space merancang pelancaran roket kedua dalam beberapa bulan, dengan sasaran membawa satelit komersial dan meningkatkan kapasiti pelancaran tahunan.
Menurut kenyataan rasmi Gilmour Space, semua empat enjin hibrid berjaya dihidupkan, dengan 23 saat pembakaran enjin dan 14 saat penerbangan sebelum roket jatuh berhampiran tapak pelancaran.
Tiada kecederaan atau kerosakan alam sekitar dilaporkan.
“Sudah tentu saya mahukan masa penerbangan yang lebih lama, tetapi saya gembira roket berjaya meninggalkan pelantar. Ini adalah langkah besar ke arah keupayaan angkasa Australia yang berdaulat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Adam Gilmour.
Pakar astrofizik dari Universiti Southern Queensland, Prof Jonti Horner, menyatakan bahawa pelancaran ini adalah antara cubaan pertama terbaik yang pernah dilihat.
“Setiap organisasi angkasa membina kejayaan mereka daripada kegagalan awal yang meletup,” katanya.
Pakar kejuruteraan dari Edith Cowan University, Prof Paulo De Souza, menambah, “Ini adalah roket sains. Hampir mustahil untuk berjaya pada cubaan pertama. Kegagalan adalah sebahagian daripada proses sehingga kita berjaya”.
Gilmour Space merancang untuk melancarkan roket kedua dalam beberapa bulan akan datang, dengan sasaran membawa satelit komersial ke orbit dan meningkatkan kapasiti pelancaran kepada empat roket setahun, dan akhirnya lebih daripada 12.
Pelancaran ini turut menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan.
Seorang penduduk Bowen berkata, “Saya tak sangka akan lihat hari ini. Ini boleh bantu ekonomi Bowen dalam jangka panjang”.
Australia kini menyertai gelombang industri angkasa komersial global, dan walaupun Eris tidak mencapai orbit, ia telah membuka pintu kepada masa depan angkasa negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami