WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Selasa menyifatkan rundingan tiga hala di Abu Dhabi sebagai produktif, namun banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Nampaknya rundingan di Abu Dhabi sangat produktif. Saya rasa perkara yang paling penting, jelas sekali, masih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam hal ini. Ia bukanlah sesuatu yang akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam akan datang atau seumpamanya," kata Rubio kepada pemberita.
Rundingan tiga hala antara Rusia, AS dan Ukraine diadakan di Abu Dhabi dari 10 hingga 11 Nov.
Sumber dalam kumpulan perunding Rusia memberitahu RIA Novosti pada Selasa bahawa rundingan itu memberi tumpuan kepada aspek utama pembentukan seni bina keselamatan benua yang baharu, dengan penyelesaian krisis Ukraine menjadi antara agenda utama perbincangan.
Delegasi Rusia diketuai Pembantu Presiden Vladimir Medinsky, manakala AS diwakili Utusan Khas Steve Witkoff dan Jared Kushner.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI