Skip to main content

Dunia

Rundingan damai: Iran beri amaran keras, namun sahkan MoU telah dimeterai secara elektronik

An Iranian man walks next to a mural on a street in Tehran, Iran, May 11, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Walaupun penandatanganan elektronik MoU menandakan kemajuan penting dalam usaha menamatkan konflik, jurang ketidakpercayaan antara kedua-dua pihak masih ketara. - Foto fail/REUTERS

TEHRAN: Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan negaranya masih tidak mempercayai Amerika Syarikat (AS) walaupun kedua-dua pihak telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) secara elektronik, sambil memberi amaran Tehran kekal bersiap sedia untuk bertindak balas.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei mengesahkan bahawa MoU tersebut kini telah ditandatangani secara elektronik oleh kedua-dua pihak, sekali gus menjadikannya perjanjian rasmi pada peringkat awal sebelum majlis pemeteraian fizikal dijadualkan.

Dalam kenyataan kepada penyiar negara, Ghalibaf yang juga Speaker Parlimen Iran berkata, walaupun terdapat perkembangan positif dalam rundingan, kepercayaan terhadap Washington masih rendah.

“Jari kami berada di picu, dan jika musuh tidak memahami bahasa logik, kami akan kembali menggunakan bahasa kekuatan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengalaman lalu menunjukkan AS sering gagal menunaikan janji dalam rundingan, sekali gus menjadikan Tehran lebih berhati-hati dalam sebarang kesepakatan.

Perkembangan terbaharu menyaksikan kedua-dua negara bersetuju terhadap teks MoU yang merangkumi penamatan perang, pembukaan semula Selat Hormuz dan rundingan lanjut mengenai isu nuklear dalam tempoh 60 hari.

Seorang pegawai AS sebelum ini turut menyatakan bahawa perjanjian tersebut telah ditandatangani secara elektronik, namun kedua-dua pihak masih boleh menarik diri sebelum pemeteraian rasmi diadakan.

Kenyataan keras Iran itu muncul selepas Presiden AS Donald Trump memberi amaran bahawa Washington boleh melancarkan serangan lebih dahsyat sekiranya Iran gagal mematuhi terma perjanjian.

Trump sebelum ini menyatakan AS tidak teragak-agak untuk “mengebom semula” Iran jika rundingan gagal, sekali gus menambahkan ketegangan walaupun perjanjian damai sedang dimeterai.

Dalam masa sama, Ghalibaf menegaskan pendekatan Iran adalah berasaskan “diplomasi kekuatan”, di mana rundingan dilihat sebagai cara mempertahankan kepentingan negara sambil mengekalkan keupayaan ketenteraan sebagai faktor pencegahan.

Walaupun penandatanganan elektronik MoU menandakan kemajuan penting dalam usaha menamatkan konflik, jurang ketidakpercayaan antara kedua-dua pihak masih ketara.

Penganalisis melihat retorik keras dari Tehran dan Washington sebagai petanda bahawa perjanjian ini masih rapuh dan kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan sebenar, khususnya dalam isu sensitif seperti sekatan ekonomi dan program nuklear Iran.
 

 

Must Watch Video

Advertisement