RUNDINGAN tiga hari melibatkan Taliban, diplomat Barat dan delegasi lain, membincangkan bantuan kemanusiaan dan hak asasi di Afghanistan berakhir di Oslo, pada Selasa.

Ia mesyuarat pertama sejak Taliban berkuasa semula di Afghanistan tahun lepas.

Pemangku Menteri Luar Amir Khan Muttaqi memuji mesyuarat itu yang disifatkannya berjalan lancar dan memberangsangkan.

Mesyuarat tertutup di ibu negara Norway itu menyusul ketika mana Afghanistan berdepan waktu sukar apabila terjerumus ke dalam masalah ekonomi yang serius.

Keadaan semakin mendesak ketika ini apabila musim sejuk tiba dengan berjuta-juta pelarian terdesak memerlukan pelbagai bentuk bantuan.

Kumpulan bantuan kemanusiaan dan agensi antarabangsa menganggarkan kira-kira 23 juta, iaitu lebih separuh populasi negara itu, berdepan masalah kebuluran dan kelaparan serius.

Laporan menyebut, segelintir rakyat Afghanistan menjual barangan peribadi untuk membeli makanan, membakar perabot bagi tujuan pemanasan malah, paling teruk, menjual anak sendiri demi wang.

Taliban mendesak AS$10 bilion yang dibekukan Amerika Syarikat dan negara Barat lain sebelum ini dicairkan.

Bagaimanapun, tiada persetujuan mengenainya diperoleh setakat ini.