MOSCOW: Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) pada Rabu berkata pengasas aplikasi Telegram, Pavel Durov didakwa di Rusia atas kesalahan membantu kegiatan keganasan, lapor Anadolu Ajansi.
FSB dalam kenyataan memaklumkan bahawa proses untuk memasukkan Durov dalam senarai individu dikehendaki antarabangsa telah dimulakan.
“Ketua pentadbiran Telegram, Pavel Durov didakwa dalam siasatan jenayah mengikut Artikel 205.1, Bahagian 1.1 Kanun Jenayah Rusia atas kesalahan membantu kegiatan keganasan.
Beliau sedang diletakkan dalam senarai individu dikehendaki antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
FSB mendakwa pentadbiran Telegram gagal memadamkan sejumlah besar saluran, ruang sembang dan bot dalam platform berkenaan, sekali gus melanggar undang-undang Rusia.
Menurut kenyataan itu, kemudahan berkenaan digunakan secara aktif oleh perkhidmatan khas Ukraine serta pertubuhan pengganas dan pelampau untuk merancang dan menyelaras tindakan sabotaj, keganasan, pembunuhan beramai-ramai serta penipuan siber di Rusia.
FSB mendakwa kegiatan berkenaan mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan, termasuk membabitkan wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan kerugian harta benda berjumlah berbilion-bilion dolar.
-- BERNAMA-ANADOLU