ST PETERSBURG: Rusia mempergiat usaha menarik pelaburan antarabangsa ke wilayah Timur Jauh dengan Forum Ekonomi Timur (EEF) muncul sebagai platform utama yang menghubungkan pelabur dengan pembuat dasar, pengawal selia dan peluang pelaburan berskala besar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Roscongress merangkap Pengarah EEF, Igor Pavlov berkata jaringan luas agensi itu dalam kerajaan membolehkan pelabur asing berhubung secara langsung dengan kementerian serta pembuat keputusan utama di negara berkenaan.
“Sepanjang 20 tahun, kami membina hubungan kukuh dengan pengawal selia dan institusi utama Rusia. Hampir tiada jabatan kerajaan yang tidak mengenali Roscongress,” katanya.
Beliau menjelaskan peranan Roscongress melangkaui penganjuran acara semata-mata, sebaliknya bertindak sebagai pemudah cara antara perniagaan antarabangsa dan kerajaan Rusia, termasuk dalam platform global seperti BRICS, SCO, APEC dan Majlis Artik.
Menurut Pavlov, syarikat asing khususnya dari Asia mendapat manfaat melalui akses kepada pihak berkepentingan relevan serta keupayaan menyelesaikan halangan birokrasi yang boleh melambatkan keputusan pelaburan.
“Keupayaan kami membantu bergantung kepada keperluan pelabur. Kami boleh memudah cara perbincangan merentasi sektor, kementerian dan wilayah bagi mencari penyelesaian,” katanya lagi.
Walaupun Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) kekal sebagai forum terbesar Rusia, Pavlov berpandangan EEF lebih berfokus kepada hasil praktikal dan pelaksanaan projek.
“EEF mungkin lebih kecil, namun nisbah antara kos penyertaan dan nilai perjanjian yang dimeterai adalah sangat tinggi,” jelas beliau.
Acara tahunan yang diadakan di Vladivostok itu menjadi platform utama Rusia mempromosi Timur Jauh, wilayah yang dilihat strategik dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Asia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Timur Jauh Rusia mencatat prestasi melebihi purata nasional dari sudut ekonomi dan sosial, menjadikannya antara wilayah paling pesat berkembang.
Pada edisi terdahulu, sebanyak 358 perjanjian bernilai hampir AS$100 bilion dimeterai, mencerminkan peranan EEF sebagai platform penting dalam menarik pelaburan.
Bagi EEF 2026, Pavlov mengenal pasti sektor tenaga, perlombongan dan pembangunan sumber semula jadi sebagai bidang paling berpotensi untuk kerjasama antarabangsa.
“Peluang terbesar tahun ini adalah dalam tenaga dan ekstraksi mineral yang mampu mencipta nilai besar kepada Rusia dan rakan antarabangsa,” katanya.
Seiring usaha Rusia memperkukuh orientasi ekonomi ke Asia, EEF dilihat sebagai pintu masuk utama bagi syarikat yang ingin terlibat secara jangka panjang dalam pembangunan wilayah Timur Jauh yang kaya dengan sumber asli.