Skip to main content

Dunia

Rusia tuduh AS, Israel cuba heret negara Arab ke kancah peperangan

Iran, Azerbaijan
Moscow mendakwa tindakan ketenteraan Washington dan Tel Aviv bertujuan mencetuskan tindak balas daripada Tehran yang akhirnya akan melibatkan negara-negara jiran di rantau itu demi kepentingan pihak asing. -Gambar fail/Telegram

MOSCOW: Kementerian Luar Rusia menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel sengaja cuba 'mengheret' negara-negara Arab ke dalam kancah peperangan melalui siri serangan udara ke atas Iran yang kini tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Moscow mendakwa tindakan ketenteraan Washington dan Tel Aviv bertujuan mencetuskan tindak balas daripada Tehran yang akhirnya akan melibatkan negara-negara jiran di rantau itu demi kepentingan pihak asing, lapor Al Jazeera.

Advertisement

“Mereka sengaja memprovokasi Iran untuk melancarkan serangan balas terhadap sasaran di beberapa buah negara Arab, yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerugian material, sesuatu yang amat dikesali pihak Rusia,” menurut kenyataan kementerian.

Rusia turut menuduh AS dan Israel memperalatkan konflik tersebut untuk memaksa penglibatan negara Arab dalam peperangan demi kepentingan orang lain, sekali gus memburukkan lagi kestabilan serantau.

Kementerian itu berkata satu‑satunya jalan ke arah kestabilan adalah menghentikan serta‑merta serangan ke atas Iran, namun mengakui ketika ini tiada petanda konflik akan reda.

“Satu-satunya jalan ke arah penstabilan adalah dengan menghentikan serangan ke atas Iran, tetapi buat masa ini tiada petanda perkara ini akan berlaku,” tegas Moscow yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di rantau Asia Barat.

Must Watch Video