MOSCOW: Rusia dan Ukraine mengumumkan gencatan senjata unilateral yang berasingan dalam konflik yang telah berlarutan selama empat tahun, mencerminkan perbezaan pendekatan kedua-dua pihak untuk meredakan pertempuran.
Kementerian Pertahanan Russia berkata gencatan senjata akan dilaksanakan pada 8 dan 9 Mei sempena sambutan Hari Kemenangan Rusia, atas arahan Presiden Vladimir Putin.
Moscow menyatakan harapan agar Ukraine turut mematuhinya.
Bagaimanapun, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata Kyiv tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada Rusia dan mengumumkan gencatan senjata sendiri bermula tengah malam 5 hingga 6 Mei.
“Tiada rayuan rasmi diterima daripada Rusia mengenai pelaksanaan pemberhentian pertempuran,” kata Zelenskyy, sambil menegaskan bahawa nyawa manusia lebih penting daripada sambutan sebarang ulang tahun.
Rusia memberi amaran akan melancarkan serangan balas besar sekiranya Ukraine menyerang Moscow semasa tempoh gencatan senjata itu, dan menyifatkan langkah tersebut sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman serangan dron Ukraine.
Zelenskyy pula berkata keputusan Rusia untuk tidak mempamerkan aset ketenteraan dalam perarakan Hari Kemenangan menunjukkan ketakutan Moscow terhadap serangan dron dan kelemahan yang semakin ketara.
Perang yang tercetus sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022 itu menjadi konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, mengorbankan puluhan hingga ratusan ribu nyawa, dengan jumlah sebenar masih tidak dapat disahkan.