DUNIA
Rusuhan Indonesia: Gibran jumpa pengemudi 'ojek', usaha reda ketegangan

Gibran mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pengemudi 'ojek' dalam talian (ojol) di Istana Wakil Presiden, Jakarta, pada Ahad, dalam usaha mendengar suara mereka serta meredakan ketegangan semasa. - Foto Reuter
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pengemudi teksi motosikal atau 'ojek' dalam talian (ojol) di Istana Wakil Presiden, Jakarta, pada Ahad, dalam usaha mendengar suara mereka serta meredakan ketegangan semasa.
Ringkasan AI
- Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka bertemu lapan wakil pengemudi 'ojek' dalam talian (GoJek, Grab, Maxim, Indrive) di Istana Wapres Jakarta untuk mendengar isu dan meredakan ketegangan.
- Dialog berlangsung lebih sejam dalam suasana santai, Gibran mendengar pandangan pengemudi dan menerima sepucuk surat daripada salah seorang peserta.
- Pertemuan ini dilihat sebagai sokongan kepada Presiden Prabowo yang pada hari sama menegaskan komitmen kerajaan menjaga keselamatan negara dan bertindak tegas terhadap pihak terlibat dalam demonstrasi.
Para peserta yang memakai seragam syarikat masing-masing turut menikmati hidangan ringan dan minuman sambil menyampaikan pandangan mereka secara bergilir.
Gibran, yang juga bekas Wali Kota (Datuk Bandar) Solo, mendengar dengan teliti dan sesekali mengangguk tanda memahami isu yang dibangkitkan oleh para pengemudi, yang kebanyakannya berusia pertengahan.
Beliau turut membaca sepucuk surat yang diserahkan oleh salah seorang peserta.
Pertemuan tersebut berlangsung lebih satu jam dan dilihat sebagai langkah sokongan kepada Presiden Prabowo Subianto dalam usaha meredakan suasana politik dan sosial semasa dengan mendengar aspirasi rakyat.
Pada hari yang sama, Presiden Prabowo bersama lapan ketua umum parti politik menyampaikan kenyataan bersama berhubung demonstrasi yang berlaku di Jakarta dan beberapa wilayah lain.
Dalam ucapannya di Istana Merdeka, Jakarta, Prabowo menegaskan komitmen kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota legislatif yang terlibat serta menyeru kepada usaha bersama menjaga keselamatan negara. -- Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami