DUNIA
Rusuhan Indonesia: Hilang 12 ekor kucing peliharaan, Uya Kuya didakwa lakukan pengabaian

Kucing yang dijumpai amat kurus dengan keadaan fizikal yang menunjukkan tanda-tanda pengabaian. - Sumber foto Thread Sherina Muna
RUMAH selebriti dan ahli politik Surya Utama, atau lebih dikenali sebagai Uya Kuya, yang terletak di daerah Duren Sawit, Jakarta Timur, telah dipecah masuk pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, bukan sahaja barangan rumah telah dilarikan, malah beberapa ekor kucing peliharaan beliau turut dicuri.
Uya Kuya memaklumkan mengenai kehilangan tersebut menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Isteri beliau, Astrid Kuya, yang juga merupakan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Daerah Provinsi Khusus Jakarta, turut berkongsi gambar kucing-kucing yang hilang.Sebanyak 12 ekor kucing dilaporkan hilang, dikenali dengan nama Arafu, Oreo, Dery, Cemong, Sipper, Yumi, Okinawa, Dallas, Daisy, Bella, Devi dan Yuki. Kucing-kucing tersebut terdiri daripada pelbagai baka termasuk British Shorthair, American Shorthair, Bengal dan Scottish Fold.
Usaha pencarian turut dibantu oleh penyanyi terkenal, Sherina Munaf dan aktivis haiwan, Indira Diandra.
Sherina berjaya menyelamatkan seekor kucing betina baka British Shorthair bercorak calico yang ditemui dalam keadaan sangat kurus dan dijangkiti kutu.
Menurutnya, kucing tersebut hanya seberat satu kilogram, walaupun berdasarkan keadaan giginya, usia sebenar dianggarkan sekitar lapan hingga sembilan bulan. Ini menandakan kemungkinan berlaku kekurangan zat makanan yang serius.
Sherina turut mendedahkan terdapat antara 16 hingga 20 ekor kucing lain yang dipercayai dibela di lokasi tersebut dan berada dalam keadaan yang membimbangkan. Beliau menyatakan keadaan fizikal kucing yang menunjukkan tanda-tanda pengabaian.
"Mungkin terdapat 16-20 ekor kucing yang dibiakkan di lokasi itu. Keadaan mereka sangat kurus, tulang mereka boleh dirasai apabila anda membelainya.
"Tidak mungkin serangan kutu berlaku dalam tempoh satu atau dua hari lepas. Kami bimbang kutu itu disebabkan oleh anemia.
"Sampel najis memang menunjukkan sedikit pertumbuhan berlebihan bakteria normal, yang mungkin disebabkan oleh penurunan imuniti atau tekanan," catat Sherina di akaun Threads.
Penemuan kucing dalam keadaan tidak terurus telah mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan warganet. Ramai yang mempersoalkan tahap tanggungjawab Uya Kuya dan isterinya dalam menjaga kebajikan haiwan peliharaan mereka.
Terdapat kebimbangan yang disuarakan oleh orang ramai sekiranya kucing-kucing tersebut dikembalikan semula kepada pemilik asal.
Setakat pagi ini, enam ekor kucing milik Uya Kuya telah berjaya ditemui, termasuk seekor yang tidak tersenarai sebelum ini dan dinamakan Bulan.
Kucing-kucing tersebut kini berada di bawah jagaan sementara oleh penyelamat dan pengasuh (foster) dan akan dibawa ke klinik veterinar untuk pemeriksaan lanjut.
Walau bagaimanapun, beberapa ekor kucing telah diambil terus oleh pemilik sebelum sempat dinilai oleh pasukan penyelamat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami