MELBOURNE: Saintis Australia dan India melancarkan kerjasama penyelidikan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan penyuntingan genom untuk membantu melindungi tanaman padi daripada peningkatan suhu global, lapor Xinhua.
Projek berkenaan "Designer crops: engineering thermotolerance for agricultural productivity,” (Tanaman pereka: kejuruteraan ketahanan haba untuk produktiviti pertanian) diketuai oleh Monash University Australia dengan kerjasama Institut Kebangsaan Penyelidikan Genom Tumbuhan India di bawah Dana Penyelidikan Strategik Australia-India, bernilai AUD3.76 juta (kira-kira AS$2.67 juta), menurut kenyataan Monash pada Rabu.
Advertisement
Penyelidik akan menggunakan pengeditan genom berasaskan AI dan CRISPR untuk mengenal pasti cara protein tumbuhan bertindak balas terhadap tekanan haba dan membuat perubahan genetik yang tepat untuk meningkatkan toleransi haba, katanya sambil menambah sampel berpotensi akan diuji dalam persekitaran yang pelbagai untuk menilai prestasi dan produktiviti.
Projek itu bertujuan menyediakan penyelesaian praktikal kepada petani yang berdepan perubahan iklim, kata Profesor Sureshkumar Balasubramanian daripada Monash.
“Apabila suhu global meningkat, tanaman seperti padi semakin terdedah kepada tekanan haba yang boleh mengurangkan hasil secara mendadak,” katanya.
Sridevi Sureshkumar daripada pusat sains biologi Monash berkata tanaman pereka teoretikal akan berada dalam kelasnya tersendiri mengatasi tanaman diubah suai yang sudah digunakan di seluruh dunia.
“Kini apabila kita telah dapat mengenal pasti dengan tepat unsur-unsur dalam tumbuhan yang responsif terhadap suhu, kita boleh memanipulasinya secara genetik dengan lebih tepat," katanya.
-- BERNAMA-XINHUA