Skip to main content

Dunia

Negara Eropah runding dengan Iran untuk laluan kapal di Selat Hormuz

FILE PHOTO: A coastguard boat approaches an Indian liquefied petroleum gas (LPG) carrier, Shivalik, as it arrives at Mundra Port via the Strait of Hormuz, amid the U.S.-Israel conflict with Iran, in Gujarat, India, March 16, 2026. REUTERS/Amit Dave/File Photo
Selepas kapal dari negara Asia Timur termasuk China, Jepun dan Pakistan dibenarkan melalui laluan Selat Hormuz, Iran menerima maklumat bahawa negara Eropah turut memulakan rundingan dengan tentera laut Pengawal Revolusi Iran untuk mendapatkan kebenaran transit. - Gambar Reuters

TEHRAN: Televisyen kerajaan Iran melaporkan pada Sabtu bahawa beberapa negara Eropah kini berada dalam rundingan dengan Tehran bagi mendapatkan laluan kapal melalui Selat Hormuz.

Menurut laporan itu, selepas kapal dari negara Asia Timur termasuk China, Jepun dan Pakistan dibenarkan melalui laluan berkenaan, Iran menerima maklumat bahawa negara Eropah turut memulakan rundingan dengan tentera laut Pengawal Revolusi Iran untuk mendapatkan kebenaran transit.

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyatakan secara khusus negara Eropah yang terlibat.

Iran sebahagian besarnya telah menyekat pelayaran melalui selat strategik itu sejak tercetusnya perang dengan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu.

Gencatan senjata rapuh dilaporkan mula berkuat kuasa pada 8 April.

Kawalan ketat Iran ke atas laluan berkenaan telah menggoncang pasaran global dan memberi kelebihan strategik kepada Tehran, manakala Amerika Syarikat pula mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

Dalam keadaan normal, Selat Hormuz menyumbang kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak global dan gas asli cecair (LNG), selain komoditi penting lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini membenarkan puluhan kapal, termasuk dari China, melalui selat tersebut selepas mencapai persetujuan mengenai “protokol pengurusan selat Iran”, menurut kenyataan Pengawal Revolusi.

Sejak konflik tercetus, Iran berulang kali menegaskan bahawa trafik maritim di selat itu tidak akan kembali ke keadaan sebelum perang, malah bulan lalu negara itu memaklumkan telah menerima hasil pertama daripada caj tol yang dikenakan ke atas laluan berkenaan.

Pada Sabtu, Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi berkata, Iran telah menyediakan mekanisme profesional untuk mengurus trafik di selat itu dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Dalam proses ini, hanya kapal komersial dan pihak yang bekerjasama dengan Iran akan mendapat manfaat,” katanya, sambil menambah bahawa bayaran sewajarnya akan dikenakan bagi perkhidmatan khusus.

Tambahnya, laluan itu akan terus ditutup kepada pihak yang terlibat dalam projek yang digelar sebagai “projek kebebasan”, merujuk kepada operasi ketenteraan sementara Amerika Syarikat yang bertujuan mengiringi kapal komersial yang terkandas melalui selat berkenaan. - Agensi

Must Watch Video