Skip to main content

Dunia

Sampel tanah bulan misi Chang'e-6 diserah kepada PBB

SAMPEL TANAH BULAN CHANG'E 6
Majlis itu dianjurkan bersama Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China (CNSA), Misi Tetap China ke PBB dan pertubuhan antarabangsa lain di Vienna serta Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB. - Gambar/ CMG
Advertisement

VIENNA: China secara rasmi menghadiahkan sebahagian sampel tanah dari bahagian Bulan yang tidak menghadap Bumi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada satu majlis penyerahan di sini pada Isnin.

Majlis itu dianjurkan bersama Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China (CNSA), Misi Tetap China ke PBB dan pertubuhan antarabangsa lain di Vienna serta Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB.

Sampel berkenaan diperoleh menerusi misi Chang'e-6 dan merupakan sampel pertama dari bahagian Bulan yang tidak menghadap Bumi dan berjaya dibawa pulang oleh manusia.

Pengarah CNSA, Shan Zhongde berkata bahawa China secara konsisten mengamalkan konsep pembangunan baharu yang inovatif, terselaras, hijau, terbuka dan berkongsi, memartabatkan amalan multilateralisme, melindungi autoriti dan peranan Jawatankuasa PBB Mengenai Penggunaan Angkasa Lepas Secara Aman (COPUOS), serta mendorong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB. 

Menurut Shan, usaha itu selaras dengan empat inisiatif global yang dikemukakan Presiden China Xi Jinping.

"China bersedia berkongsi hasil pembangunan angkasa lepas dengan pelbagai negara, berkongsi peluang dan mencipta kemakmuran bersama supaya manfaat teknologi angkasa lepas semakin relevan dengan kepentingan rakyat pelbagai negara.

“Pada masa sama, China mendorong manusia melakukan penerokaan angkasa lepas secara aman dan memperkasa pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan," kata Shan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pejabat PBB di Vienna, Juma pula berkata bahawa tindakan pihak China mempamerkan sampel tanah Bulan secara kekal di Ibu Pejabat PBB di Vienna mempunyai makna yang penting.

Ia bukan sahaja melambangkan keupayaan teknologi dan keazaman manusia untuk meneroka alam semesta, malah mencerminkan sokongan China terhadap peranan PBB dalam menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk menangani cabaran bersama.

Lebih 400 tetamu menghadiri majlis itu, termasuk pegawai pertubuhan antarabangsa di Vienna, wakil tetap pelbagai negara serta wakil daripada pelbagai lapisan masyarakat.

-- BERNAMA-CMG

 

Must Watch Video

Advertisement