KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan tawaran perkhidmatan badal haji pada harga terlalu rendah kerana ia menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dan kebolehlaksanaan perkhidmatan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata, pelaksanaan badal haji bukan sahaja tertakluk kepada syarat dan peraturan ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, malah membabitkan kos yang tinggi.
"Sehubungan itu, Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan kempen 'Tiada Visa, Tiada Haji' termasuk kepada individu yang ingin melaksanakan badal haji bagi pihak orang lain.
"Langkah itu selaras dasar Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, La Hajja Bi laa Tasrih atau 'Tiada Haji, Tanpa Permit' yang menetapkan keperluan memiliki visa atau permit haji sah," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang meminta untuk menjelaskan mekanisme semakan awal kerajaan terhadap identiti pengiklan, status syarikat, lesen, akaun penerima bayaran serta kesahihan dakwaan pelaksanaan badal haji sebelum iklan perkhidmatan itu dipromosikan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Marhamah turut menasihati orang ramai supaya menyemak latar belakang penyedia perkhidmatan, kesahihan tawaran serta maklumat penerima bayaran sebelum membuat sebarang transaksi.
"Sebarang aduan berkaitan penawaran perkhidmatan mengelirukan atau berunsur penipuan boleh dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa," ujarnya.