KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mempelawa maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung cadangan kajian semula dan penjajaran rangka kerja skim latihannya bagi memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja negara.
HRD Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif berkenaan melibatkan majikan, penyedia latihan dan persatuan industri bagi memastikan skim latihan yang dibiayai levi terus relevan serta berimpak tinggi.
Menurut agensi itu, semakan berkenaan menumpukan usaha mempertingkat kualiti latihan selain memperluas peluang kepada pekerja daripada pelbagai sektor untuk meningkatkan kemahiran sedia ada (upskilling) dan mempelajari kemahiran baharu (reskilling).
"Penekanan diberikan kepada program yang menawarkan kelayakan profesional dan pensijilan industri yang diiktiraf, di samping latihan praktikal yang menepati keperluan semasa di tempat kerja.
"Kajian ini turut meneliti peluang memperluas sokongan latihan menerusi biasiswa peningkatan kerjaya dan skim berkaitan pekerjaan bagi membantu mobiliti kerjaya serta potensi pendapatan pekerja, selaras dengan dasar gaji negara," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz berkata kajian semula itu adalah sebahagian daripada langkah strategik bagi memastikan hala tuju organisasi kekal berlandaskan matlamat penubuhannya di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB).
Shamir berkata keutamaan HRD Corp ketika ini adalah memperkukuh mandat teras dalam membantu majikan membangunkan modal insan melalui modul latihan yang berkualiti, mudah diakses dan berkesan.
“Kami amat menghargai pandangan yang dikemukakan oleh pihak berkepentingan kerana pengalaman dan pemahaman mereka terhadap landskap industri amat penting dalam membentuk rangka kerja yang lebih mantap. Semua maklum balas membina akan dipertimbangkan dalam menentukan hala tuju pelaksanaan skim ini kelak," katanya.
Setakat ini, lebih 500 pihak berkepentingan termasuk majikan, penyedia latihan dan persatuan industri telah menyertai sesi libat urus yang bermula Ogos lepas dan akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini.
Inisiatif itu turut menyokong Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 serta aspirasi negara mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.
Pihak industri boleh meneliti cadangan terbabit serta mengemukakan maklum balas menerusi portal rundingan melalui pautan https://hrdcorp.gov.my/trainingframework-review.
Dalam pada itu, HRD Corp memaklumkan tempoh permohonan geran latihan sedia ada akan dikekalkan sepanjang 2027, iaitu tiga hari sebelum tarikh latihan awam bermula dan 14 hari bagi latihan dalaman (in-house).
Pengekalan tempoh itu bertujuan memberikan fleksibiliti kepada majikan merancang dan melaksanakan latihan pekerja tanpa menjejaskan aspek pematuhan serta tadbir urus yang ditetapkan.
Tempoh penghantaran permohonan berkenaan akan dikaji semula selepas sistem pengesahan kendiri digital HRD Corp selesai dibangunkan pada 2028.
-- BERNAMA