KUALA LUMPUR: Pemimpin politik diingatkan supaya menjaga adab serta tidak menggunakan sebarang istilah yang ekstrem semata-mata kerana berbeza pandangan terhadap agenda reformasi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata terdapat banyak istilah lain yang lebih wajar dan bersesuaian untuk digunakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati tanpa perlu melampaui batas agama.
“Pada pandangan saya, memanggil seseorang itu kafir pun tidak dibenarkan dalam Islam.
“Jadi, jika beliau melabelkan (pihak lain) sebagai dajal, beliau sendiri perlu memberikan penjelasannya. Saya tidak boleh mengulas lanjut, tetapi ada banyak lagi perkataan lain yang boleh digunakan jika tidak bersetuju dan janganlah sampai tahap ekstrem,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan menyamakan cadangan pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) seperti "pendekatan dajal".
Semalam, Abdul Hadi menerusi hantaran dalam media sosial menyifatkan CSA adalah pendekatan dajal pada akhir zaman, yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.
Pada 29 Okt, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh Ahli Parlimen lain, termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Selain komitmen untuk menyokong kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027), CSA itu turut menetapkan sokongan terhadap agenda reformasi institusi yang ingin dibentangkan kerajaan.
Ia termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum dua penggal serta pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.
-- BERNAMA