Skip to main content

Dunia

Pilihan raya pertengahan penggal: Angkasawan AS tunai tanggungjawab mengundi

Video NASA bertarikh 3 Nov 2026 menunjukkan angkasawan Anil Menon menunjuk ke arah pelekat 'Saya telah mengundi' pada pakaiannya, selepas beliau mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal AS dari ISS. REUTERS
Video NASA bertarikh 3 Nov 2026 menunjukkan angkasawan Anil Menon menunjuk ke arah pelekat 'Saya telah mengundi' pada pakaiannya, selepas beliau mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal AS dari ISS. REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Ketika jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) keluar mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu, tiga angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) turut menunaikan tanggungjawab mengundi dari angkasa, ratusan batu di atas permukaan Bumi, lapor Anadolu Ajansi.

Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Anil Menon berkongsi pengalaman itu menerusi satu video di platform media sosial X, sambil berkata beliau dan rakan kru warga AS berpeluang mengundi dari orbit, sama seperti pengundi di Bumi.

"Ya, anda juga boleh mengundi dari angkasa lepas," kata Menon sambil menunjukkan satu sudut kecil di ruang inapnya di ISS yang dijadikan sebagai bilik mengundi.

Advertisement

"Ketiga-tiga anggota kru AS mendapat keistimewaan untuk mengundi dari stesen angkasa lepas. Kami mengisi kertas undi elektronik dan menghantarnya dengan selamat kepada pegawai pilihan raya," tambahnya.

Menon bersama dua lagi angkasawan, Jessica Watkins dan Luke Delaney mengisi kertas undi elektronik sebelum menghantarnya dengan selamat kepada pegawai pilihan raya di AS.

Advertisement

Proses pengundian itu bergantung kepada rangkaian komunikasi NASA. Kertas undi dihantar dari stesen angkasa ke kemudahan di Bumi sebelum disalurkan kepada pejabat pilihan raya daerah yang berkaitan.

Penyulitan memastikan hanya angkasawan dan pegawai pilihan raya yang diberi kuasa dapat mengakses kertas undi yang telah diisi.

Angkasawan AS dibenarkan mengundi dari angkasa lepas sejak 1997, selepas Texas meluluskan undang-undang yang membolehkan anggota kru NASA mengundi ketika berada di orbit.

David Wolf menjadi angkasawan AS pertama yang mengundi ketika berada di stesen angkasa lepas Mir milik Rusia.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement