GENEVA: Obesiti dalam kalangan orang dewasa telah meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak 1990 dan meningkat empat kali ganda dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (5 hingga 19 tahun) di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian dikeluarkan Lancet, lebih 1 bilion orang di dunia hidup dengan obesiti di mana 43 peratus orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan pada 2022.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, obesiti terangkum dalam kategori malnutrisi di samping masalah lain seperti kekurangan zat makanan, vitamin atau mineral.

Kajian sama memaklumkan bahawa walaupun kadar kekurangan zat makanan telah menurun, ia masih menjadi cabaran kesihatan awam di banyak tempat, terutama di Asia Tenggara dan sub-Sahara Afrika.

"Isu kekurangan zat makanan telah menyumbang separuh daripada angka kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

"Manakala obesiti pula boleh menyebabkan rangkaian penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan beberapa jenis kanser.

"Kajian baharu ini memberi kesedaran akan kepentingan mencegah dan mengurus obesiti dari awal kehidupan hingga dewasa, menerusi kerjasama holistik daripada pihak kerajaan, sektor swasta dan komuniti.

"Ia boleh dilakukan melalui pengamalan diet, aktiviti fizikal, dan penjagaan yang mencukupi untuk memenuhi sasaran global dalam membendung gejala obesiti," tambahnya.

Bagaimanapun menurut Pengarah Jabatan Pemakanan dan Keselamatan Makanan WHO, Dr Francesco Branca, terdapat cabaran besar dalam melaksanakan dasar bagi memastikan akses berpatutan kepada diet sihat untuk semua di samping mewujudkan persekitaran menggalakkan aktiviti fizikal dan gaya hidup sihat secara menyeluruh.

"Untuk menangani masalah kekurangan zat makanan khususnya memerlukan beberapa pelan tindakan pelbagai sektor dalam pertanian.

Antaranya sektor perlindungan sosial dan kesihatan untuk mengurangkan ketidakcukupan makanan, selain meningkatkan akses kepada air bersih dan sanitasi serta memastikan akses universal kepada intervensi pemakanan sihat.

Negara yang mempunyai gabungan kadar kurang berat badan dan obesiti tertinggi pada tahun 2022 ialah negara kepulauan di Pasifik dan Caribbean dan negara-negara di Timur Tengah dan Afrika Utara.