JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, muncul dalam satu sidang bersama media asing pada Khamis dengan menepis dakwaan yang mendakwa beliau telah terbunuh, sebelum memberikan perkembangan terkini mengenai operasi ketenteraan Israel terhadap Iran.
Netanyahu membuka sesi berkenaan dengan kenyataan bersifat sinis: “Saya masih hidup dan anda semua menjadi saksi.”
Advertisement
Beliau turut menjelaskan, dakwaan mengenai kematiannya hanyalah berita palsu sebelum memulakan taklimat mengenai Operasi Roaring Lion.
Menurut laporan media antarabangsa, operasi itu merupakan sebahagian daripada tindakan ketenteraan Israel yang lebih luas untuk melemahkan kemampuan Iran, termasuk infrastruktur pertahanan dan keupayaan peluru berpandu serta dron negara itu.
Netanyahu juga mendakwa, operasi tersebut telah memberikan “keberhasilan besar” dalam merosakkan aset dan keupayaan ketenteraan Iran.
Dalam masa sama, Perdana Menteri Israel itu turut menjelaskan, Israel beroperasi dengan sokongan kukuh Amerika Syarikat (AS), sambil menekankan hubungan strategik yang diperkukuh di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Netanyahu turut menyatakan bahawa beberapa serangan dilakukan secara berdikari, manakala sebahagian lain melibatkan penyelarasan dengan Washington.
Dalam masa sama, Netanyahu mendakwa, terdapat “tanda-tanda jelas” bahawa kepimpinan Iran kini berada dalam keadaan semakin lemah, susulan siri serangan bertumpu yang dilancarkan Israel sejak bermulanya konflik.
Kenyataan tersebut muncul selepas beberapa hari laporan dan spekulasi tular di media sosial yang mendakwa Netanyahu terkorban dalam serangan balas Iran.
Operasi Roaring Lion dijangka berlanjutan dalam beberapa hari akan datang, dengan Israel menyasarkan apa yang digambarkan sebagai infrastruktur utama yang digunakan oleh Iran dalam program ketenteraannya. - Agensi