INTERNATIONAL
Sebahagian besar kawasan di Puerto Rico masih terputus bekalan elektrik

Pemandu mengisi minyak di dalam bekas di sebuah stesen minyak ketika seluruh kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik di San Juan, Puerto Rico, 16 Apr 2025. (Foto AP)
MEXICO CITY: Sebahagian besar wilayah di pulau Caribbean, Puerto Rico masih berdepan gangguan bekalan elektrik pada Khamis, hampir sehari selepas berlakunya gangguan bekalan di seluruh negara, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Menurut laporan rasmi, bekalan elektrik untuk 780,000 daripada 1.5 juta pelanggan di pulau itu masih belum dipulihkan.
Pengendali grid elektrik swasta, LUMA, menjangkakan tempoh sekurang-kurangnya 48 jam diperlukan bagi memulihkan bekalan elektrik di seluruh pulau.
Gabenor Puerto Rico, Jenniffer Gonzalez menyatakan gangguan itu berpunca daripada pelbagai kerosakan termasuk kerosakan talian kuasa akibat tumbuhan, selain kegagalan sistem perlindungan grid berfungsi dengan baik hingga menyebabkan semua loji janakuasa ditutup secara automatik.Beliau turut memaklumkan bahawa lapangan terbang, pelabuhan dan hospital masih dibekalkan dengan tenaga elektrik, namun sebahagian hospital bergantung kepada janakuasa mudah alih.
Sebelum ini, satu lagi gangguan besar berlaku pada malam Tahun Baharu, yang hampir melumpuhkan seluruh pulau.
Rakyat Puerto Rico sejak sekian lama mendesak agar kerajaan menamatkan kontrak dengan syarikat pembekal tenaga swasta itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami