Dua jenazah pertama mangsa serangan pengganas Christchurch sudah tiba di Tanah Perkuburan Memorial Park, Linwood, untuk disempurnakan sekitar jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Jenazah juga disembahyangkan di kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Mereka dikenali sebagai Khalid Mustafa, 44 tahun, dan anaknya, Hamza Mustafa, 15 tahun.

Hamza merupakan pelajar di Cashmere High School dan disifatkan oleh pengetua sekolahnya sebagai seorang yang penyayang dan rajin.

GALERI GAMBAR: Pengebumian mangsa serangan pengganas Christchurch


Terdahulu, jenazah mangsa disempurnakan di pusat pengurusan jenazah di mana keluarga mangsa berpeluang memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah juga dimaklumkan akan diuruskan keluarga sehingga ke liang lahad.

Laporan NZ Herald memaklumkan orang ramai yang hadir ke tanah perkuburan diminta memberi keutamaan kepada keluarga.

Mereka juga diminta tidak mengambil foto atau video di tanah perkuburan.








Sementara itu, polis telah mengeluarkan lima nama mangsa yang telah dikenal pasti, daripada keseluruhan 50 mangsa tragedi solat Jumaat pada 15 Mac lalu.

Mereka ialah Hati Mohemmed Doud Nabi, 71 tahun, Mohsen Mohammed Al Harbi, 63 tahun, Junaid Ismail, 36 tahun, Mucaad Ibrahim, 3 tahun, - kesemuanya dari New Zealand - dan Kamel Moh'd Kamal Kamel Darwish, 38 tahun, dari Jordan.

Kesemua mereka terbunuh ketika serangan di Masjid Al Noor di Deans Ave, Christchurch.