MELBOURNE: Polis Australia menahan sekumpulan remaja bersenjata pada malam pertama Festival Moomba, sekali gus dipercayai menggagalkan satu insiden serius di kawasan tumpuan ramai itu.
Menurut polis, kejadian bermula kira‑kira jam 9.15 malam apabila pegawai keselamatan festival mengesan seorang remaja lelaki membawa pisau di kawasan acara.
Advertisement
Pasukan keselamatan segera memaklumkan pihak polis, yang kemudian menjejaki sekumpulan lapan remaja di kawasan Southbank sebelum menahan mereka berhampiran St Kilda Road.
Pemeriksaan mendapati kumpulan itu membawa pelbagai senjata berbahaya, termasuk dua parang, pisau pemotong daging, pisau ukir, pisau lipat, serta 'knuckle duster'.
Polis juga merampas balaklava, sarung tangan dan sejumlah dadah daripada kumpulan tersebut.
Dua remaja berusia 16 dan 17 tahun ditahan untuk soal siasat, dan seorang daripada mereka telah didakwa atas kesalahan memiliki senjata larangan.
Dia akan dibawa ke mahkamah kanak‑kanak pada tarikh yang ditetapkan.
Polis percaya tindakan pantas pihak keselamatan dan rondaan polis telah menghalang keganasan serius di festival yang menarik ribuan pengunjung setiap tahun itu.