GAZA: Sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh selepas sebuah bangunan kediaman tujuh tingkat didiami mereka runtuh pada Rabu ketika mangsa dilaporkan sedang tidur.
Tragedi yang berlaku di Kota Gaza itu menjejaskan kira-kira 10 keluarga pelarian yang berlindung di bangunan berkenaan.
Menurut pihak pertahanan awam Gaza, runtuhan bangunan itu dipercayai berpunca daripada kerosakan struktur akibat serangan ketenteraan Israel sebelum ini.
Pengarah Perkhidmatan Pertahanan Awam Kota Gaza, Raed Al-Dahshan, berkata angka korban dijangka meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan kira-kira 100 individu yang dikhuatiri tertimbus di bawah timbunan runtuhan.
Beliau berkata pasukan penyelamat berdepan kesukaran menjalankan operasi berikutan kekurangan jentera berat dan peralatan yang diperlukan.
Insiden itu berlaku ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas dilaporkan berdepan kebuntuan, selain kelewatan usaha pembinaan semula di Gaza susulan sekatan terhadap kemasukan jentera berat.
Kekurangan ruang dan pilihan tempat tinggal turut memaksa sebahagian besar penduduk Gaza menetap di khemah sementara atau mendiami bangunan yang rosak dan berisiko runtuh.
Walaupun gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober tahun lalu berjaya mengurangkan tahap kekuatan pertempuran, pihak berkuasa tempatan berkata operasi ketenteraan Israel masih berterusan dan terus meragut nyawa penduduk awam.