Sekurang-kurangnya enam maut ketika ribut musim sejuk lumpuhkan AS

Seorang pekerja menggunakan mesin peniup salji untuk membersihkan salji di kaki lima ketika ribut musim sejuk besar melanda kawasan luas di AS. - Foto REUTERS
HOUSTON: Sekurang-kurangnya enam kematian dilaporkan selepas ribut musim sejuk besar melanda beberapa negeri di timur dan selatan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, membawa hujan, salji tebal dan jalan raya berais yang memaksa penutupan lapangan terbang serta lebuh raya, selain menyebabkan lebih sejuta penduduk terputus bekalan elektrik.
Ribut itu turut menjunamkan suhu di banyak negeri ke bawah paras beku, lapor Anadolu Ajansi, memetik beberapa laporan media.
Georgia, Louisiana, Mississippi, Tennessee dan Texas antara negeri paling teruk terjejas setakat ini, apabila pengumpulan ais menyebabkan talian elektrik putus, mencetuskan gangguan bekalan kuasa dan melumpuhkan bandar-bandar utama seperti Atlanta, Houston dan Nashville.
Kebanyakan perniagaan serta sekolah ditutup sebagai langkah pencegahan keselamatan awam.
Menurut laman PowerOutage.us yang menjejaki gangguan bekalan elektrik di seluruh AS, Tennessee mencatatkan gangguan paling besar dengan sehingga 339,000 pelanggan terputus bekalan elektrik setakat petang Ahad.
Hampir 180,000 penduduk di Mississippi dan hampir 150,000 pelanggan di Louisiana turut terjejas, manakala Texas dan Georgia masing-masing merekodkan hampir 100,000 pelanggan tanpa bekalan elektrik.
Pasukan kecemasan bekerja sepanjang masa bagi memulihkan bekalan secepat mungkin.
Salji tebal turut melanda wilayah Midwest, termasuk Ohio, dengan bandar-bandar utama seperti Cincinnati dan Columbus menerima antara 15 hingga 25 sentimeter salji.
Di barat daya negeri itu, bandar Dayton dan Springfield merekodkan hampir 30 sentimeter salji, mendorong pihak berkuasa menggesa penduduk kekal di rumah.
“Ia benar-benar sangat berbahaya di luar,” kata Datuk Bandar Columbus, Andrew Ginther.
“Orang ramai perlu berada di rumah kecuali dalam keadaan kecemasan mutlak.”
Beberapa negeri lain turut dilanda salji tebal, termasuk Arkansas, Illinois, Indiana, Kansas, Missouri dan Oklahoma, manakala beberapa kawasan di Texas Utara menerima sehingga 13 sentimeter salji.
Di wilayah timur laut, New Jersey menerima sekitar 25 sentimeter salji, diikuti Pennsylvania dengan 23 sentimeter dan New York sekitar 18 sentimeter.
Lebih 16,000 penerbangan di seluruh AS telah dibatalkan setakat ini akibat ribut tersebut, dengan ribuan lagi mengalami kelewatan di lapangan terbang utama termasuk Atlanta, Boston, Chicago, Dallas, Detroit, Houston, New York, Philadelphia dan Washington, DC.
Pakar cuaca memberi amaran suhu sejuk melampau dijangka berterusan di banyak negeri hingga awal minggu ini, sementara ribut berkenaan terus melanda kawasan luas di AS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


