Selepas Hong Kong, Macau hari ini turut mengambil langkah sama dengan menutup pintu masuk ke wilayah itu daripada pelancong dari Hubei, China.

Ia sebagai langkah membendung penyakit itu daripada terus merebak yang kini telah mencatatkan lebih 2,761 kes di China.

Menurut Biro Kesihatan Macau, pelancong atau pelawat yang berada untuk tempoh 14 hari di wilayah Hubei sebelum mereka tiba di Macau, tidak akan dibenarkan masuk.

Sebaliknya, setiap pelancong perlu mengemukakan sijil pemeriksaan kesihatan kerajaan yang sah membuktikan mereka bebas dari koronavirus jika ingin berbuat demikian.

Manakala pelancong atau pelawat yang telah berada di Macau, tidak dibenarkan memasuki kasino di wilayah itu.

Bermula Isnin, pemeriksaan kesihatan terus dipertingkatkan oleh Biro Kesihatan Macau membabitkan 1,113 pelancong dari Hubei yang memasuki wilayah itu diantara Disember 2019 hingga 26 Januari lalu.

Sehingga kini, lima mangsa disahkan positif koronavirus pada Ahad.

[LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!