Seramai 81 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media pada Rabu, daripada jumlah itu seramai 59 individu dikompaun manakala 22 lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk pelanggan (31), tidak memakai pelitup muka (16).

"Aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (24), premis beroperasi lebih masa (4), dan tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (6)," katanya.

Tambah Ismail, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 68,310 pemeriksaan pada Selasa bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 3,962 pasar raya, 5,269 restoran serta 1,337 penjaja, 1,671 kilang, 3,713 bank dan 1,073 pejabat kerajaan diperiksa.

Turut dipantau, sebanyak 1,183 terminal pengangkutan darat, 240 terminal pengangkutan air serta 114 terminal pengangkutan udara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) jelas Ismail, turut mengadakan 62 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng di seluruh negara dan telah memeriksa 28,481 kenderaan pada Selasa.