Senat AS lulus rang undang-undang dasar pertahanan bernilai US$901 bilion

Senat AS pada Rabu meluluskan Akta Kebenaran Pertahanan Negara yang menggariskan dasar serta perbelanjaan Pentagon bagi 2026. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA), rang undang-undang bernilai US$901 bilion yang menggariskan dasar serta perbelanjaan Pentagon bagi 2026, lapor Anadolu Ajansi.
Senat meluluskan rang undang-undang itu dengan 77 menyokong dan 20 menentang, bersetuju menerima versi yang diluluskan Dewan Perwakilan awal bulan ini.
Rang undang-undang itu kini dikemukakan kepada Presiden Donald Trump untuk ditandatangani.
Antara peruntukan utama dalam rang undang-undang setebal 3,086 muka surat itu termasuk US$800 juta untuk Ukraine -- US$400 juta bagi setiap dua tahun akan datang -- di bawah Inisiatif Bantuan Keselamatan Ukraine, selain pemansuhan sekatan Caesar ke atas Syria di bawah bekas rejim Presiden Bashar al-Assad.
Rang undang-undang itu turut memperuntukkan US$600 juta kepada Israel, termasuk dana bagi inisiatif pertahanan peluru berpandu bersama seperti sistem Iron Dome.
NDAA turut memberi kuasa kepada Jabatan Pertahanan AS untuk mengumpul dana daripada sekutu NATO bagi mengimbangi kos penempatan pasukan AS di Eropah Timur.
Selain itu, ia mengkehendaki komander US European Command (EUCOM) menjalankan penilaian tahunan mengenai tahap kelebihan ketenteraan AS dan NATO berbanding Rusia.
Pentagon juga diwajibkan menilai kesan terhadap keselamatan AS sebelum mengurangkan kekuatan pasukannya di Eropah kepada kurang daripada 76,000 anggota.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


