Skip to main content

Malaysia

Kesesakan luar biasa selepas F1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, ribuan peminat masih terkandas

Perkongsian pengguna media sosial di platform Threads menggambarkan situasi yang sesak dengan pergerakan kenderaan perlahan serta laluan pejalan kaki yang dipenuhi peminat yang memilih untuk berjalan keluar dari kawasan litar. - Foto media sosial
Perkongsian pengguna media sosial di platform Threads menggambarkan situasi yang sesak dengan pergerakan kenderaan perlahan serta laluan pejalan kaki yang dipenuhi peminat yang memilih untuk berjalan keluar dari kawasan litar. - Foto media sosial

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kesesakan luar biasa dilaporkan di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan laluan keluar menuju Kuala Lumpur serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas berakhirnya perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, pada Ahad.

Meskipun hampir enam jam selepas perlumbaan tamat, ribuan pengunjung dilaporkan masih berada di sekitar kawasan litar dan hab pengangkutan awam bagi menunggu giliran untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Perkongsian pengguna media sosial di platform Threads menggambarkan situasi yang sesak dengan pergerakan kenderaan yang perlahan serta laluan pejalan kaki yang dipenuhi peminat yang memilih untuk berjalan keluar dari kawasan litar.

Seorang pengguna, @presintrunner, menyifatkan suasana selepas perlumbaan seolah-olah bertukar menjadi acara berjalan kaki jarak jauh apabila ramai pengunjung terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk mendapatkan pengangkutan.

Malah, ada yang dilaporkan berjalan kaki dari SIC ke Mitsui Outlet Park, manakala sebahagian lagi meneruskan perjalanan sehingga ke kawasan KLIA.

Dalam pada itu, beberapa pengguna turut berkongsi keadaan trafik yang sesak di sekitar laluan utama keluar dari litar, termasuk perkhidmatan bas shuttle yang turut terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Ekoran situasi itu, penunggang motosikal tempatan tampil membantu dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada para peminat F1 yang terkandas bagi membolehkan mereka menuju ke lokasi parkir, stesen pengangkutan awam dan destinasi lain.

Inisiatif spontan komuniti setempat itu menerima pujian ramai kerana membantu melancarkan pergerakan pengunjung selain mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu mereka yang memerlukan.

Setakat ini, tiada sebarang insiden keselamatan serius dilaporkan dan pihak berkuasa terus memantau aliran trafik serta pergerakan pengunjung di sekitar kawasan litar.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di lokasi mendapati kesesakan berlaku lebih dua jam, bermula kira-kira 8 malam tadi, dengan pergerakan kenderaan keluar dari kawasan berkenaan dilihat amat perlahan.

Beberapa pengunjung yang ditemui turut meluahkan rasa kecewa apabila kenderaan mereka hampir tidak bergerak, menyebabkan mereka terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

Dalam perkembangan sama, aliran trafik dari SIC menuju ke Mitsui Outlet Park turut dilaporkan masih perlahan.

Selain itu, tinjauan di laman sosial mendapati terdapat penonton yang mendakwa masih berada di kawasan sekitar SIC setakat 11 malam ini.

F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia bermula 2 Oktober dengan sesi latihan bebas pertama dan kedua, diikuti sesi latihan bebas ketiga serta sesi kelayakan pada Sabtu.

Perlumbaan utama membabitkan 55 pusingan bermula sekitar 4 petang hari ini.

Penganjuran itu menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun, dengan perlumbaan terakhir di litar berkenaan diadakan pada 2017.

Must Watch Video

Advertisement