BEIJING: Pemain veteran Novak Djokovic bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan pilihan utama Alexander Zverev pada Ahad, sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka China dan mencipta satu lagi rekod, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam pertemuan pertama mereka tahun ini, pemain Serbia itu menang 4-6, 6-4, 6-4 untuk semakin hampir meraih gelaran pertamanya musim ini.
Djokovic tidak menyertai kejohanan itu selama beberapa tahun, namun kini mencatat rekod 32-0 di Beijing, mengatasi rekod terbaik lelaki sebelum ini milik Rafael Nadal iaitu 31-0 di Terbuka Perancis.
Pemain berusia 39 tahun itu belum memenangi gelaran Grand Slam sejak 2023 dan masih belum meraih sebarang gelaran dalam Jelajah ATP tahun ini, kali pertama berlaku sejak 2005.
Zverev dari Jerman pula berusaha meneruskan momentum selepas meraih gelaran sulung Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan menewaskan Djokovic, pemegang rekod 24 gelaran Grand Slam.
Pemain berusia 29 tahun itu bermula baik apabila mematahkan servis Djokovic pada permainan pertama. Dia memenangi set pertama menerusi ace selepas menyelamatkan beberapa mata break dalam permainan sama.
Set kedua bermula dengan rali luar biasa dan aksi berkualiti tinggi berterusan apabila Djokovic memanfaatkan peluang mata break sebelum menamatkan set itu menerusi pukulan voli.
Djokovic menyelamatkan satu mata break pada awal set penentuan sebelum mengesahkan kemenangan pada mata perlawanan keduanya selepas Zverev, pemain nombor dua dunia, memukul bola ke jaring.
Djokovic kini menjadi pemain ketiga tertua dalam sejarah ATP yang menewaskan pemain kelompok tiga terbaik dunia.
Beliau seterusnya akan berdepan Daniil Medvedev yang baru-baru ini menjuarai kejohanan di Hangzhou.
-- BERNAMA-dpa